Protes Covid New Zealand memuncak selepas polis berundur 


Pergelutan antara penunjuk perasaan dan polis di luar bangunan parlimen di New Zealand selepas sekumpulan anggota polis cuba menyuraikan mereka.– Gambar Facebook, 11 Februari, 2022.

JUMLAH penunjuk perasaan di luar Parlimen New Zealand meningkat pada hari Jumaat apabila polis mengurangkan usaha untuk menyuraikan penunjuk perasaan anti-vaksin yang terlibat dalam pertempuran ganas sehari sebelumnya.

Suasana seakan perayaan dilihat di penempatan khemah sementara yang digelar “Kem Kebebasan”, dengan muzik dan tarian ketika polis melakukan pemantauan dari belakang penghadang.

Ia berbeza dengan suasana pada Khamis yang mana berlaku pergelutan selepas sekumpulan anggota polis cuba menyuraikan penunjuk perasaan, menahan 122 orang dan menggunakan semburan lada untuk menyuraikan mereka.

Polis Wellington menyifatkan tindakan itu sebagai “langkah pencegahan”, dan menyatakan ia diambil berikutan kehadiran kanak-kanak dalam kalangan penunjuk perasaan.

“Polis terus memantau dan mengawal aktiviti protes di kawasan Parlimen,” kata Superintendan Corrie Parnell dalam satu kenyataan.

“Polis mengenal pasti pelbagai punca dan motivasi yang berbeza dalam kalangan penunjuk perasaan, menjadikannya sukar untuk membuka talian komunikasi.”

Aktivis telah berkhemah di halaman parlimen selama empat hari dalam protes yang bermula Selasa sebagai meniru tindakan “Konvoi Kebebasan” oleh pemandu lori Kanada di Ottawa.

Kawasan Parlimen ditutup kepada orang ramai tetapi langkah itu tidak dikuatkuasakan dengan ketat dan bilangan penunjuk perasaan di perkarangannya meningkat daripada kira-kira 250 kepada sekitar 1,500 pada Jumaat.

Seorang penunjuk perasaan bernama Carrie, yang enggan memberikan nama keluarganya, berkata aktivis itu tetap komited dengan matlamat mereka untuk menamatkan mandat vaksin.

“Cara polis mengendalikan kami telah mengejutkan kami semua,” katanya kepada AFP.

“Apa yang mereka lakukan semalam adalah di luar jangkaan kami. Kejam, benar-benar kejam.”

New Zealand mewajibkan vaksinasi Covid bag mereka yang bekerja dalam sektor seperti kesihatan, penguatkuasaan undang-undang, pendidikan dan pertahanan, dan mereka yang menolaknya akan dipecat.

Bukti vaksinasi juga mesti ditunjukkan untuk memasuki restoran, acara sukan dan aktiviti keagamaan. – AFP, 11 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen