KEPUTUSAN Puteri Mako menangguhkan perkahwinannya dengan kekasih sejak zaman kolejnya sehingga 2020, mencetuskan spekulasi bahawa masalah kewangan membabitkan ibu tunangnya itu menjadi punca penangguhan itu.
Dalam satu pengumuman yang tiba-tiba dibuat, cucu sulung Maharaja Akihito itu menegaskan kekangan masa menjadi sebab penangguhan pertunangan rasmi mereka.
“Kami menyedari kami tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persiapan majlis itu dan kehidupan baharu kami sebelum perkahwinan pada musim luruh,” katanya dalam satu kenyataan.
Mako dan Kei Komuro, kedua-duanya berumur 26 tahun, dijadualkan bertunang secara rasmi dalam acara tradisional di istana bulan depan sebelum tarikh perkahwinan 4 November.
Agensi diraja bertegas mengatakan pasangan itu masih mahu meneruskan perkahwinan dan menafikan sebarang kaitan antara penangguhan itu dengan artikel dalam satu majalah baru-baru ini tentang masalah kewangan dalam keluarga Komuro.
Tetapi spekulasi berleluasa mengatakan ada sesuatu yang mencurigakan berkenaan penangguhan itu.
Selama berminggu-minggu, majalah gosip mendedahkan cerita tentang kewangan ibu Komuro, yang juga seorang janda.
Pada hujung Januari, dua majalah terkemuka Jepun, memetik kenalan kepada bekas tunang ibu berkenaan, melaporkan wanita itu tidak membayar balik lebih AS$37,000 yang dipinjam daripada lelaki terbabit.
Lelaki itu membatalkan pertunangan mereka kerana ibu Komuro kerap meminta wang, kata laporan itu.
Wang berkenaan dilaporkan dibelanjakan untuk menampung kehidupan ibu tunggal itu dan pembelajaran anak lelakinya, termasuk pengajian setengah tahun di sebuah universiti di Amerika Syarikat.
Tetapi, keluarga Komuro berkata mereka sangka wang itu adalah “hadiah”, menurut akhbar Shukan Shincho. – AFP, 7 Februari, 2018.
Komen