Menteri Perancis kecam larangan bertudung pemain bola sepak Islam


Menteri Kesaksamaan Gender Elisabeth berkata wanita perlu dibenarkan bebas memilih untuk berpakaian. – Gambar EPA, 11 Februari, 2022.

MENTERI kesaksamaan gender Perancis memberikan sokongannya pada Khamis kepada pemain bola sepak wanita Islam yang cuba membatalkan larangan pemain bertudung di atas padang.

Peraturan yang ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Perancis pada masa ini menghalang pemain memakai simbol agama seperti tudung orang Islam atau kippa bagi penganut Yahudi.

Satu kesatuan wanita yang dikenali sebagai “les Hijabeuses” memfailkan cabaran undang-undang terhadap peraturan itu pada November tahun lepas, mendakwa ia mendiskriminasi dan melanggar hak mereka untuk mengamalkan agama.

“Undang-undang mengatakan wanita muda ini boleh bertudung dan bermain bola sepak. Di padang bola sepak hari ini, tudung tidak dilarang. Saya mahu undang-undang menghormatinya,” kata Menteri Kesaksamaan Gender Elisabeth Moreno kepada televisyen LCI.

“Wanita harus dibenarkan memilih untuk berpakaian sesuka hati mereka,” katanya kemudian kepada AFP.

Dua bulan selepas pilihan raya presiden Perancis, isu itu menjadi topik perbincangan di negara yang mengekalkan bentuk sekularisme yang ketat, bertujuan memisahkan negara dan agama.

Senat Perancis, yang didominasi oleh parti sayap kanan Republikan, mencadangkan undang-undang pada Januari melarang pemakaian simbol agama yang jelas dalam semua sukan yang dipertandingkan.

Ia ditolak dalam dewan rakyat pada Rabu oleh parti Republik on the Move diwakili Presiden Emmanuel Macron dan sekutunya yang memegang majoriti.

Undang-undang Perancis mengenai sekularisme menjamin kebebasan beragama kepada semua rakyat, dan tidak mengandungi peruntukan mengenai larangan pemakaian simbol agama di ruang awam, kecuali penutup muka penuh yang diharamkan pada 2010.

Kakitangan institusi negara juga dilarang mempamerkan agama mereka, begitu juga dengan pelajar sekolah.

Ramai ahli politik sayap kanan di Perancis mahu meluaskan sekatan bagi pemakaian tudung, melihatnya sebagai kenyataan politik yang menyokong Islamisme dan menghina nilai Perancis.

Beberapa tahun kebelakangan ini, mereka mencadangkan melarang ibu yang meghantar anak ke sekolah daripada memakai tudung, dan cuba melarang pemakaian burkini.
Moreno berkata pada Khamis wanita boleh berpakaian sesuka hati di ruang awam dan akan berjuang melindungi mereka yang terpaksa memakai tudung.
Demonstrasi “les Hijabeuses” di depan Parlimen Perancis pada Rabu diharamkan oleh pihak berkuasa bandar atas alasan keselamatan.
Pada 2014, Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) membenarkan wanita memakai tudung dalam permainan selepas memutuskan adalah budaya dan bukannya simbol agama.

Persekutuan Bola Sepak Perancis berhujah ia hanya mengikut undang-undang Perancis, dengan mahkamah perlembagaan tertinggi negara itu ditetapkan untuk memutuskan isu itu berikutan rayuan daripada “les Hijabeuses”. – AFP, 11 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen