PUTERA Charles, anak sulung dan pewaris kepada Ratu Elizabeth II, sedang mengasingkan diri selepas diuji positif koronavirus buat kali kedua, kata pejabatnya pada Khamis.
“Putera Wales diuji positif Covid-19 dan kini mengasingkan diri,” kata mesej di laman Twitter rasmi putera itu.
Putera raja bertemu Ratu Elizabeth di Windsor dua hari sebelum disahkan positif, menurut laporan media British.
Bagaimanapun, Ratu Elizabeth berusia 95 tahun itu pada masa ini tidak menunjukkan sebarang gejala, kata sumber diraja yang tidak dinamakan kepada agensi berita tempatan Press Association.
Istana Buckingham tidak menyatakan sama ada Ratu Elizabeth turut diuji positif atau negatif untuk virus itu.
Charles sepatutnya melancarkan sebuah patung di Winchester, selatan England, pada Khamis tetapi kehadirannya dibatalkan pada saat-saat akhir, menyebabkan beliau “sangat kecewa”, kata Clarence House.
Ratu Elizabeth yang mengasingkan diri dalam “gelembung"nya sendiri kerana faktor usianya di Istana Windsor, barat London, ketika wabak melanda pada awal 2020, mengalami masalah kesihatan baru-baru ini yang memaksanya berundur dari tugas rasmi atas nasihat perubatan.
Bagaimanapun, beliau menghadiri sambutan ulang tahun ke-70 naik ke takhta yang bermula minggu ini.
Putera berusia 73 tahun itu pertama kali diuji positif pada Mac 2020 dan kemudian menghabiskan masa seminggu mengasingkan diri di estet Queen’s Balmoral di Scotland.
Charles bertemu beberapa orang pada majlis resepsi di Muzium British pada Rabu, termasuk menteri kewangan Rishi Sunak dan menteri dalam negeri Priti Patel.
Kakitangannya berkata jangkitan kedua koronavirus Charles diketahui selepas ujian rutin. Beliau sudah diberi vaksin lengkap terhadap Covid-19. – AFP, 11 Februari, 2022.
Komen