CUBAAN menyeludup masuk pendatang asing ke Malaysia melalui perairan Selangor gagal selepas 88 warga Indonesia ditahan di pesisir pantai Sungai Serdang, Klang Utara, hari ini.
Ketua Penolong Pengarah D3 Atipsom, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Fadil Marsus berkata kesemua mereka ditahan dalam Op Pintas yang dijalankan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Pelabuhan Klang.
“Ketika dipintas, semua 88 warga asing itu bersama seorang tekong laut dan tiga pembantu tekong ditahan di dalam sebuah bot kayu jenis pom-pom di lokasi 0.9 batu dari persisiran pantai Sungai Serdang.
“Kesemua mereka dipercayai berlepas dari Tanjung Balai, Indonesia dan menuju ke perairan di Klang,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurutnya, sindiket berkenaan mengenakan bayaran antara RM1,200 hingga RM1,500 kepada setiap warga asing yang mahu masuk ke Malaysia melalui laluan laut yang tidak diwartakan.
“Sindiket ini dipercayai menguruskan migran keluar dan masuk Malaysia sejak sebulan lalu. Upah datang ke Malaysia itu akan dikumpul lebih awal oleh ejen di Tanjung Balai, Indonesia sebelum berlepas ke Malaysia.
“Semua tangkapan, migran serta rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – 10 Februari, 2022.
Komen