Mahkamah Tinggi tolak permohonan injunksi Serba Dinamik terhadap Bursa Malaysia 


SERBA Dinamik Holdings Bhd (SDHB) hari ini gagal memperoleh perintah mahkamah untuk menghalang Bursa Malaysia Securities Bhd daripada memaksa syarikat kejuruteraan minyak dan gas itu membuat hebahan awam Kemas Kini Dapatan Berdasarkan Fakta (FFU) yang disediakan oleh firma audit Ernst & Young Consulting Sdn Bhd (E&Y).

Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Fairuz Zainol Abidin berkata permohonan SDHB untuk mendapatkan injunksi terhadap Bursa Malaysia tidak dapat dipertahan dan tidak disokong secara fakta susulan aku janji oleh syarikat itu berkaitan obligasi kontrak dengan Bursa Malaysia.

“Mahkamah tidak sepatutnya meneka fungsi badan kawal selia dalam mengenakan syarat sedemikian. Kalau betul, akan berlaku huru-hara jika mahkamah memilih dan menerima untuk melaksanakan tafsiran SDHB sendiri berbanding tafsiran oleh Bursa Malaysia, yang merupakan badan kawal selia,” katanya ketika menolak permohonan SDHB pada prosiding yang berlangsung secara dalam talian.

Beliau juga berkata Bursa Malaysia tidak bertindak melebihi kuasanya apabila menggantung saham SDHB.

Hakim itu berkata Bursa Malaysia melaksanakan tugasnya mengikut Seksyen 11 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 sebagai badan kawal selia susulan aktiviti luar biasa dalam sahamnya pada hari itu.

“Ia merupakan kegagalan di pihak Bursa Malaysia jika tidak meneruskan penggantungan itu. Justeru, mahkamah juga mendapati Bursa Malaysia bertindak dalam bidang kuasanya ketika mengeluarkan arahan berhubung hebahan awam FFU itu. Oleh itu, mahkamah menolak permohonan ini,” kata hakim itu yang mengarahkan SDHB membayar kos RM30,000 kepada Bursa Malaysia.

SDHB selaku plaintif memfailkan saman pemula dan permohonan injunksi itu pada November 2021, yang menamakan Bursa Malaysia dan E&Y sebagai defendan.

Antara lain, SDHB memohon deklarasi bahawa arahan Bursa bertarikh 28 Jun dan 2 Julai 2021 kepada plaintif untuk melantik E&Y sebagai juruaudit khas bagi melaksanakan ‘Kajian Semula Khas Bebas’ (SIR) mengikut perenggan 2.23 dan 2.24 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (MMLR) adalah melebihi bidang kuasanya, batal dan tidak sah serta tidak mempunyai kesan.

Plaintif turut memohon perintah injunksi bagi menghalang Bursa Saham, wakil serta ejennya daripada mengeluarkan sebarang arahan kepada syarikat itu atau anak syarikat SDHB untuk menjalankan sebarang kajian semula dan membuat sebarang pengumuman atau menerbitkan, mengedar atau menyediakan kepada sesiapa FFU yang disediakan oleh E&Y. – Bernama, 10 Februari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen