Indonesia beli 42 jet pejuang Perancis


Pembelian jet pejuang Perancis itu dilihat memperkukuhkan lagi hubungan antara Paris dan Jakarta. – Gambar EPA, 10 Februari, 2022.

INDONESIA pada Khamis memesan 42 jet pejuang Rafale dari Perancis, ketika Paris dan Jakarta berusaha mengukuhkan hubungan ketenteraan dalam menghadapi ketegangan yang semakin meningkat di Asia-Pasifik.

Perjanjian itu diumumkan ketika Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto bertemu rakan sejawatannya dari Perancis Florence Parly di Jakarta.

“Ia rasmi, Indonesia pesan 42 buah Rafale,” kata Parly di Twitter.

Subianto turut mengesahkan perjanjian dicapai untuk pembelian jet itu, dengan kontrak ditandatangani pada Khamis berkaitan enam pesawat pertama.

Ia dilihat sebagai hubungan baik antara Jakarta dan Paris, ketika Perancis sedang memikirkan semula perikatannya di rantau itu berikutan runtuhnya perjanjian kapal selam Australia berbilion dolar pada September.

Paris berang dengan kejadian itu, berkata ia tidak diberitahu yang Canberra sedang merundingkan pakatan pertahanan baharu dengan Amerika Syarikat (AS) dan Britain.

Australia kini memperoleh kapal selam berkuasa nuklear sebagai sebahagian daripada pakatan pertahanan baharu bernama AUKUS, yang menyatukan Canberra, Washington dan London bagi menentang kebangkitan China.

Pada November, Perancis dan Indonesia mengukuhkan perjanjian perkongsian strategik semasa lawatan dua hari oleh Menteri Luar Perancis Jean-Yves Le Drian ke kepulauan Asia Tenggara itu.

Tempahan pertama Indonesia untuk pesawat pejuang Perancis muncul ketika Jakarta menggantikan armada lamanya, yang terdiri terutamanya daripada F-16 Amerika dan Sukhoi Rusia, ketika kebimbangan semakin meningkat mengenai peningkatan ketegangan AS-China di Asia. – AFP, 10 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen