Trump lancar rangkaian media sosial hujung Mac


Bekas presiden Amerika Syarikat Donald Trump akan melancarkan Truth Social hujung Mac ini, berjanji ia akan melawan balik penapisan yang dibuat oleh gergasi teknologi. – Gambar EPA, 10 Februari, 2022.

BEKAS presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump akan melancarkan rangkaian media sosialnya sendiri menjelang akhir Mac, Sputnik memetik laporan Fox Business daripada sumber yang mengetahuinya.

Rangkaian itu, dinamakan Truth Social, akan beroperasi sepenuhnya menjelang tarikh pelancaran yang dijangkakan pada akhir suku semasa, kata laporan itu pada Rabu.

Trump Media & Technology Group (TMTG) kini menjalankan ujian beta, dan rakyat Amerika akan dapat memuat turun aplikasinya atau membuka akaun pada masa yang sama, kata laporan itu.

Rangkaian baharu Trump itu belum lagi dibuka untuk awam, tetapi sudah tersedia untuk pra tempahan di Apple App Store, tambah laporan itu.

Truth Social akan bekerjasama dengan Rumble – sebuah platform, yang dilihat sebagai alternatif kepada YouTube dan Perkhidmatan Web Amazon (AWS), menurut laporan itu.

Trump minggu lalu berjanji bahawa rangkaiannya akan melawan balik penapisan yang dilakukan syarikat-syarikat IT yang digolongkan sebagai Big Tech dan akan melindungi hak kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat. – Bernama, 10 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen