Ukraine dakwa latihan tentera Rusia-Belarus 'tekanan psikologi'


Latihan ketenteraan bersama angkatan tentera Rusia dan Belarus 'Allied Resolve - 2022' akan diadakan dari 10 hingga 20 Februari 2022, yang dilihat Ukraine sebagai satu bentuk "tekanan psikologi". – Gambar EPA, 10 Februari, 2022.

PRESIDEN Ukraine Volodymyr Zelensky pada Rabu menggelar latihan ketenteraan bersama yang dilancarkan Rusia dan Belarus di sepanjang sempadan bekas republik Sovietnya sebagai “tekanan psikologi”.

Komen Zelensky muncul ketika Rusia dan Belarus melancarkan latihan utama yang akan berlangsung sehingga 20 Februari.

Kremlin berjanji Rusia akan menarik balik tenteranya dari Belarus sebaik sahaja latihan berakhir.

Bagaimanapun mereka telah meningkatkan lagi ketegangan di sebalik usaha Eropah untuk mencari penyelesaian diplomatik kepada pertembungan Rusia dengan Barat berhubung pengembangan Nato dan Ukraine.

“Pengumpulan kuasa di sempadan adalah tekanan psikologi daripada jiran kami. Kami tidak melihat apa-apa yang baru di sini,” Zelensky dipetik sebagai memberitahu sekumpulan pemimpin perniagaan Eropah di Kyiv.

“Risiko itu ada dan telah wujud sejak 2014,” katanya merujuk kepada tahun Rusia menguasai semenanjung Crimea Ukraine dan kemudian menyokong pemberontakan pemisah di tenggara.

“Isunya mengenai tahap risiko, dan cara kami bertindak balas terhadapnya.”

Ukraine telah melancarkan latihan ketenteraannya sendiri yang akan mencerminkan latihan yang dijalankan oleh Belarus dan Rusia.

Tetapi pegawai tentera di Kyiv tidak banyak berkata tentang mereka kerana tidak mahu meningkatkan ketegangan.

Zelensky berkata Ukraine mempunyai “kuasa yang cukup untuk mempertahankan negara secara terhormat.” – AFP, 10 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen