DENGAN beberapa berita gembira yang dibawa pulang oleh para atlet pada awal Tahun Baharu Cina, warga Vietnam berharap negara mereka akan memperoleh pencapaian baharu pada 2022 berikutan bakal menjadi tuan rumah dan mengambil bahagian dalam beberapa kejohanan utama serantau dan antarabangsa.
Pada 1 Februari - hari pertama Tahun Baharu Cina, pasukan bola sepak kebangsaan lelaki mengalahkan China 3 - 1 dalam pusingan akhir Asia untuk kelayakan Piala Dunia FIFA 2022, lapor Agensi Berita Vietnam.
Kemenangan di Stadium My Dinh di Hanoi bukan sahaja memperoleh mata pertama untuk pasukan ketua jurulatih Park Hang-seo tetapi juga membantu Vietnam mencatat sejarah sebagai wakil pertama Asia Tenggara yang meraih kemenangan dalam kelayakan terakhir Asia ke Piala Dunia FIFA.
Sementara itu, keesokannya (2 Februari), pasukan kebangsaan wanita menewaskan Thailand dan seterusnya China Taipei pada 6 Februari dalam perlawanan yang diadakan di India untuk secara rasmi mara ke pusingan akhir Piala Dunia Wanita FIFA 2023.
Kejayaan pasukan futsal, pemain bola sepak wanita Vietnam melangkah ke pusingan akhir Piala Dunia, menjadi dorongan kepada atlet sukan lain untuk berusaha mencapai sasaran penting pada 2022, terutama di Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) ke-31.
Tertangguh beberapa kali akibat pandemik Covid-19, Sukan SEA ke-31 akan berlangsung di Hanoi dan wilayah jiran pada pertengahan Mei.
Memandangkan kebanyakan acara yang dipilih Vietnam adalah yang dipertandingkan di Sukan Olimpik dan Sukan Asia (ASIAD), Sukan SEA ke-31 dijangka mempunyai kualiti terbaik berbanding sebelumnya.
Timbalan Ketua Pengarah Pentadbiran Sukan Vietnam Tran Duc Phan, berkata Sukan SEA ke-31 tidak akan mengetepikan mana-mana kategori sukan Olimpik, bertujuan untuk meningkatkan daya saing bukan sahaja bagi negara tetapi juga seluruh rantau.
Atlet dihantar ke lebih banyak latihan dan pertandingan, dalam dan luar negara, untuk persediaan menghadapi Sukan SEA serta kejohanan besar lain, termasuk Sukan Asia ke-19, Sukan Para Asia ke-4, dan Sukan Remaja Asia ke-3 di China; Sukan Sukan Antarabangsa Kanak-kanak Asia Ke-7 di Rusia; dan Sukan Francophone di Republik Demokratik Congo tahun ini, menurut pegawai itu.
Pentadbiran juga mempertingkatkan penyelarasan dengan kementerian, sektor dan kawasan untuk membuat persiapan terbaik bagi Sukan SEA akan datang, tambah Phan. – Bernama, 10 Februari, 2022.
Komen