Penyatuan budaya China dan sukan Olimpik


Maskot Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022, Bing Dwen Dwen menyatukan budaya China dengan sukan ais dan salji. – Gambar EPA, 10 Februari, 2022.

BING Dwen Dwen, maskot Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022, menyatukan budaya China dengan sukan ais dan salji, kata pegawai eksekutif reka bentuk, Liu Pingyun.

Beliau berkata, Bing Dwen Dwen yang berada di dalam cangkerang ais, kelihatan lebih atletik apabila digayakan sebagai topi keselamatan sukan, sekali gus menunjukkan perwatakan rakyat China yang jujur dan peramah.

Maskot berupa panda itu memakai “sut” lutsinar, diilhamkan daripada batang hawthorn bersalut gula, atau tanghulu, makanan ringan yang popular di utara China.

“Snek itu bukan sahaja elemen ideal yang mencetuskan ilham saya, tetapi relevan dan sinonim dengan musim sejuk dan sukan ais,” ujar Liu kepada Kumpulan Media China (CMG), pada Rabu.

Pasukan pereka bimbingan Liu yang berpangkalan di Guangdong, turut menampilkan elemen kreatif pada maskot berkenaan, iaitu satu siri garisan terapung berwarna di sekeliling kepala panda menyerupai trek di gelanggang ais, merujuk kepada National Speed Skating Oval, atau “Reben Ais”.

“Ahli pasukan kami pernah ke Rizab Alam Semula Jadi Wolong di wilayah Sichuan hanya untuk memerhati setiap gelagat dan gerak-geri anak panda,” kata Liu ketika mengimbau kembali proses penghasilan dan semakan selama hampir sepuluh bulan.

Sejak pembukaan Olimpik Beijing, Bing Dwen Dwen turut mencuri perhatian ramai apabila stok miniatur maskot di kedai seluruh China habis dijual, manakala topik berkaitan si comel itu juga viral dalam media sosial di China.

Di sebalik populariti Bing Dwen Dwen sebagai tarikan budaya China, penampilannya turut menyampaikan konsep muhibah, kata Liu Pingyun.

Maskot Bing Dwen Dwen yang membuat penampilan sulung di Beijing pada 17 September 2019, dianugerahkan kepada pemenang pingat Olimpik Beijing 2022 sebagai cenderahati. – Bernama, 10 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen