3 ditahan terlibat kes bunuh wartawan Mexico


Ahli keluarga dan rakan-rakan di hari pengebumian Lourdes Maldonado yang maut dibunuh bulan lalu. – Gambar EPA, 10 Februari, 2022.

PIHAK berkuasa Mexico semalam berkata tiga lelaki ditahan terlibat dalam pembunuhan seorang wartawan Lourdes Maldonado yang kematiannya bulan lalu di bandar sempadan barat laut Tijuana mencetuskan kecaman antarabangsa.

Pembunuhan Maldonado – salah seorang daripada beberapa wartawan yang terbunuh di Mexico pada tahun ini mendorong gesaan agar kerajaan Mexico berusaha melakukan sesuatu bagi melindungi pekerja media.

Ketiga-tiga mereka ditahan pada Selasa dan Rabu di Tijuana, kata Menteri Keselamatan Rosa Icela Rodriguez kepada pemberita.

Maldonado yang berusia 67 tahun pernah meminta sokongan Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador ditembak mati ketika tiba di rumah dengan keretanya pada 23 Januari.

Timbalan Menteri Keselamatan Ricardo Mejia berkata motif pembunuhan itu masih belum diketahui tetapi diharap dapat diperoleh sebaik sahaja suspek disoal siasat.

Mereka ditangkap dengan bantuan jiran yang memberitahu pihak berkuasa bahawa mereka melihat tiga lelaki memandu di sekitar rumah mangsa, kata pihak berkuasa.

Maldonado pernah bekerja untuk beberapa cawangan termasuk Primer Sistema de Noticias (PSN) yang dimiliki oleh bekas gabenor negeri Baja California Jaime Bonilla Valdez yang menafikan terlibat dalam pembunuhan itu.

Maldonado diberi perlindungan polis tetapi ditarik semula pada November kerana pertukaran kerajaan negeri di Baja California.

Dia adalah salah seorang daripada empat wartawan yang terbunuh di Mexico setakat ini pada 2022, menurut pemerhati hak media Reporters Without Boarders (RSF).

Beberapa hari sebelumnya jurugambar Margarito Martinez juga ditembak mati di Tijuana.

Roberto Toledo, rakan usaha sama laman berita di negeri tengah Michoacan dna Jose Luis Gamboa, seorang wartawan dan aktivis media sosial di timur negeri Veracruz turut terbunuh pada Januari.

Mexico dianggap sebagai salah sebuah negara paling berbahaya di dunia bagi wartawan dengan sekurang-kurangnya tujuh wartawan dibunuh pada 2021 walaupun tidak jelas sama ada semua pembunuhan itu dikaitkan dengan kerja mereka, menurut RSF. – AFP, 10 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen