KETUA Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata pada Rabu sudah bertemu dengan menteri kesihatan Taliban untuk perbincangan mengenai krisis kesihatan dan kemanusiaan di Afghanistan.
Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus mendedahkan beliau bertemu Qalander Ebad untuk perbincangan pada Selasa.
Ebad adalah sebahagian daripada delegasi Taliban yang melawat Geneva selama seminggu berbincang dengan institusi dan agensi bukan kerajaan mengenai akses kemanusiaan dan hak asasi manusia, ketika pemerintah baharu Afghanistan memperluaskan penglibatan antarabangsa mereka.
Pergerakan Taliban kembali berkuasa di Kabul pada pertengahan Ogos apabila Amerika Syarikat (AS) menamatkan perang selama 20 tahun di Afghanistan.
Sejak itu, Afghanistan mengalami masalah kewangan, dengan inflasi dan pengangguran melonjak, manakala pemberhentian bantuan mencetuskan krisis kemanusiaan di negara yang sudah musnah akibat peperangan selama beberapa dekad.
Tedros bertemu Ebad semasa lawatannya ke Kabul pada September 2021 susulan pengambilalihan Taliban.
“Walaupun terdapat beberapa peningkatan sejak itu, keadaan kesihatan di Afghanistan masih teruk dan krisis kemanusiaan yang teruk terus membahayakan nyawa,” kata Tedros.
Beliau berkata mereka membincangkan keperluan kesihatan di negara ini, mengukuhkan sistem, persediaan kecemasan dan melatih tenaga kerja kesihatan, dengan wanita menjadi tumpuan.
“Keperluan mendesak di Afghanistan adalah untuk memberi diagnostik mengesan virus Covid-19, dan khususnya Omicron, kerana bilangan kes semakin meningkat,” kata Tedros.
Sidang kemanusiaan
Delegasi Taliban, mewakili apa yang dipanggil Emirat Islam Afghanistan (IEA), berada di Switzerland atas jemputan Geneva Call, yang berfungsi melindungi orang awam semasa konflik.
Yayasan itu menganjurkan persidangan mengenai Afghanistan secara tertutup dari Isnin hingga Jumaat, bertujuan meningkatkan penyampaian bantuan kemanusiaan tanpa halangan di negara itu.
Tedros berkata WHO menyokong tindak balas Covid-19 di Afghanistan serta kempen imunisasi polio dan campaknya.
“Kami juga membincangkan kemajuan pendidikan wanita di semua peringkat, termasuk pendidikan tinggi dan sokongan untuk menyertai tenaga kerja kesihatan,” kata ketua agensi kesihatan PBB itu.
“WHO menyeru masyarakat antarabangsa meneruskan dialog bagi menyokong rakyat Afghanistan, supaya kita meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan semua rakyat Afghanistan.”
Delegasi Taliban juga akan bertemu dengan pegawai Switzerland dan Eropah yang lain, serta Palang Merah semasa lawatannya—walaupun kementerian luar Switzerland menegaskan kehadirannya di sana bukan merupakan pengiktirafan kerajaan.
Badan amal perubatan yang berpangkalan di Geneva Doctors Without Borders (MSF) berkata ia juga akan mengadakan perbincangan dengan delegasi itu.
“MSF berhubung dengan kementerian kesihatan IEA selama beberapa tahun, dalam konteks aktiviti perubatan kami di Afghanistan. Kami akan bertemu dengan mereka semasa berada di Geneva untuk membincangkan keperluan perubatan semasa dan rancangan kami,” kata seorang jurucakap. – AFP, 10 Februari, 2022.
Komen