LUCASFILM semalam mengumumkan rancangan penerbitan siri baharu filem “Star Wars” yang akan dibikin oleh pasukan di sebalik tabir yang menghasilkan siri paling popular HBO, “Game of Thrones”.
David Benioff dan D.B. Weiss, pencipta Game of Thrones yang memenangi Anugerah Emmy bagi kategori siri televisyen terbaik itu akan menulis dan menerbitkan filem baharu yang berasingan daripada kisah saga Skywalker dan trilogi “Star Wars: The Last Jedi” yang ditulis dan diarahkan oleh Rian Johnson.
“David dan Dan antara pencerita terbaik yang ada pada masa ini,” kata Presiden Lucasfilm, Kathleen Kennedy dalam satu kenyataan.
“Kemahiran mereka dalam menghasilkan karakter yang kompleks, kisah yang mendalam serta kaya dengan mitologi akan memberikan wajah baharu pada Star Wars dalam cara yang saya rasa akan menjadi lebih hebat dan menarik.”
Benioff dan Weiss akan mengeluarkan kenyataan bersama menyatakan mereka sudah lama mengidam untuk terbabit dalam siri filem angkasa itu sejak menonton filem asalnya pada 1977.
Lucasfilm setakat ini tidak memberitahu berapa banyak siri baharu filem akan dihasilkan dan tidak mengumumkan tarikh siaran.
Bob Iger dari Disney berkata ketika trilogi Johnson diumumkan pada November, francais Star Wars melangkaui jangkaan sejak syarikat gergasi dunia hiburan itu mendapat hak milik terhadap Lucasfilm pada 2012.
Dua filem daripada siri utama di bawah Disney – The Force Awakens (2015) dan The Last Jedi (2017) antara filem pecah panggung dengan masing-masing mencecah jualan AS$2 bilion dan AS$1.3 bilion.
Rogue One: A Star Wars Story (2016), siri pertama daripada trilogi itu juga mencecah AS$1 bilion, memberikan harapan kejayaan besar turut mengiringi filem Solo: A Star Wars Story yang akan ditayangkan pada Mei.
George Lucas, seorang pembikin filem dari California baru berusia 33 tahun ketika menyiapkan filem futuristik dunia angkasa itu. – AFP, 7 Februari, 2018.
Komen