Switzerland mula undi haramkan iklan tembakau 


Di bawah sistem demokrasi langsung Switzerland, pihak yang berkempen mengumpulkan tandatangan mencukupi bagi mengadakan undian mengharamkan pengiklanan produk tembakau di mana-mana sahaja yang boleh dilihat oleh golongan bawah umur. – Gambar EPA, 9 Februari, 2022.

SWITZERLAND akan mengundi pada Ahad bagi mengetatkan undang-undang tembakau dengan mengharamkan hampir semua pengiklanan produk berbahaya kepada kesihatan.

Switzerland jauh ketinggalan di belakang kebanyakan negara kaya dalam menyekat pengiklanan tembakau - situasi yang dipersalahkan secara meluas atas lobi besar-besaran oleh beberapa syarikat tembakau dunia yang beribu pejabat di negara itu.

Ketika ini, kebanyakan iklan tembakau kekal masih dibenarkan di peringkat kebangsaan, kecuali di televisyen dan radio, atau iklan yang khusus menyasarkan golongan bawah umur.

Walaupun beberapa wilayah Switzerland telah memperkenalkan undang-undang yang lebih ketat dan ketika undang-undang kebangsaan baharu belum selesai, jurukempen menegaskan sekatan yang lebih ketat diperlukan untuk melindungi golongan muda daripada terjerumus ke dalam ketagihan tembakau.

Di bawah sistem demokrasi langsung Switzerland, pihak yang berkempen mengumpulkan tandatangan yang mencukupi untuk mengadakan undian popular atas inisiatif mereka bagi mengharamkan pengiklanan produk tembakau di mana-mana sahaja yang boleh dilihat oleh golongan bawah umur.

Tinjauan baru-baru ini menunjukkan majoriti besar pengundi memihak kepada inisiatif itu, yang pada praktiknya akan mengharamkan semua pengiklanan tembakau dengan berkesan.

Walaupun mungkin mudah untuk menang majoriti undi, ia mungkin lebih mencabar untuk memenangi cukup 26 wilayah Switzerland bagi mendapatkan majoriti dua kali ganda yang diperlukan agar inisiatif itu lulus. – AFP, 9 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen