Susulan tragedi Rayan, Arab Saudi timbus 2,450 perigi buta


Operasi menyelamatkan Rayan Oram, kanak-kanak lima tahun yang terjatuh ke dalam perigi sedalam 32 meter di Magribi sangat sukar. – Gambar fail AFP, 9 Februari, 2022.

ARAB Saudi menimbus 2,450 perigi terbiar di seluruh negara itu, sebagai langkah keselamatan bagi mengelak berulang lagi tragedi kematian kanak-kanak lelaki di Maghribi.

Kementerian Alam Sekitar, Air dan Pertanian Arab Saudi berkata pihaknya mengambil tindakan itu memandangkan betapa sukarnya operasi menyelamat mangsa jika terjatuh ke dalam perigi terbiar.

Tragedi kanak-kanak lelaki, Rayan Oram, 5, terjatuh ke dalam perigi terbiar di kampung Ighrane di wilayah Chefchaouen Maghribi Selasa lalu dan terperangkap lima hari menjadi pengajaran kepada kementerian itu untuk menimbus perigi terbiar.

“Untuk memastikan keselamatan semua, kementerian menimbus ribuan perigi terbiar. Kita akan mencari dan terus bekerja untuk menimbus mana-mana perigi terbiar,” katanya.

Kementerian itu juga meminta penduduk untuk melaporkan mana-mana perigi yang tidak selamat atau tidak bertutup.

“Laporan anda akan melindungi anda dan orang lain,” kata kementerian itu.

Isnin lalu, orang ramai menghadiri majlis pengebumian Rayan, yang maut selepas lima hari terperangkap di dalam perigi kering dan sempit sedalam 32 meter.

Ratusan hadirin meratapi pemergian kanak-kanak itu di tanah perkuburan di utara Chefchaouen, beberapa kilometer dari lokasi tragedi. – AFP, 9 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen