Sultan Kelantan tarik gelaran 'Datuk' dari Husam, Wan Rahim


Zulkifli Sulong

DUA pemimpin Amanah Kelantan, Husam Musa dan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah memulangkan semula darjah kebesaran yang dikurniakan oleh Sultan Kelantan hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Februari, 2018.

DUA pemimpin Amanah Kelantan, Husam Musa dan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah memulangkan semula darjah kebesaran yang dikurniakan oleh Sultan Kelantan selepas diarahkan berbuat demikian oleh Istana Kelantan.

Husam dan Wan Abdul Rahim mendedahkan, mereka menerima surat dari Setiausaha Kerajaan Kelantan Mohd Faudzi Che Mamat petang semalam yang memaklumkan titah Sultan Muhammad V untuk menarik balik tauliah pelantikan yang membawa gelar Datuk Paduka.

“Menjunjung sebagaimana dititahkan, kami berdua telah mengembalikan Darjah Kebesaran dan surat pelantikan yang berkaitan kepada Yang Amat Berusaha Pengelola Istana Diraja (Nik Pakheruddin Nik Abdul Kadir) pada hari ini, 7 Februari, 2018 di Istana Balai Besar.

“Kami mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi menjunjung kasih dan mengulangi taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhamad V,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Wan Rahim berkata beliau menerima surat itu petang semalam kira-kira 5.15 petang.

“Ya saya terima surat itu semalam, dan pagi ini kami serahkan kembali (darjah kebesaran),” kata Wan Rahim ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Dalam sidang medianya di Kota Bharu, Wan Rahim enggan menjelaskan sebab di sebalik araham oleh Istana Kelantan itu.

“Sebagai hamba rakyat Tuanku Sultan semua keputusan diterima dengan hati terbuka.

“Jelas dalam perlembagaan negeri bahawa kurniaan Tuanku adalah hak budibicara baginda sepenuhnya tanpa dipengaruhi sesiapa,” katanya yang merupakan pengerusi Amanah Kelantan.

Husam yang juga bekas exco kerajaan negeri kini pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan dan juga penasihat Amanah Kelantan.

Pelucutan gelaran itu memberi petanda bahawa Sultan Muhammad V, yang turut mengetuai negara sebagai Yang di-Pertuan Agong, tidak begitu berkenan pada usaha politik Husam dan Wan Rahim.

Sultan Muhammad V pada 2010 pernah menarik balik pingat darjah kebesaran yang dikurniakan kepada nenda saudaranya sendiri iaitu Tengku Razaleigh Hamzah, susulan kenyataan ahli parlimen Gua Musang itu berhubung isu pelantikan baginda sebagai Sultan Kelantan.

Tengku Razaleigh pada waktu itu bertegas bahawa Sultan Ismail Petra yang sedang gering merupakan Sultan Kelantan yang sah.

Pada tahun itu juga, Sultan Muhammad V turut menarik balik darjah kebesaran dari dua lagi individu—bekas setiausaha kerajaan negeri, Wan Hashim Wan Daud dan juga presiden NGO Perkasa, Ibrahim Ali, berhubung isu sama. – 7 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen