Majikan jangan guna alasan Covid-19 untuk kekalkan gaji rendah


LRRC mendesak majikan memberikan pampasan kepada pekerja dengan tangga gaji lebih tinggi ketika ekonomi kembali normal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Februari, 2022.

PERSEKUTUAN Majikan Malaysia (MEF) perlu berhenti menggunakan Covid-19 sebagai “senjata” untuk menafikan kenaikan gaji minimum, kata Gabungan Reformasi Undang-Undang Perburuhan (LLRC), hari ini.

Dalam satu kenyataan, Pengerusi Bersama LLRC N. Gopal Kishnam dan Irene Xavier mengecam MEF kerana mengelak kenaikan gaji minimum dengan mendakwa ia akan menaikkan kos perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ketika pemulihan ekonomi dan akan menyebabkan mereka gulung tikar.

“Kami perlu ingatkan MEF yang sepanjang pandemik pekerja juga sengsara sama seperti majikan. Ramai diberhentikan kerja, terpaksa ambil cuti tanpa gaji atau sebahagian besar gaji dipotong.

“MEF tidak sepatutnya melebih-lebihkan kesusahan majikan tetapi mengabaikan pengorbanan pekerja,” kata gabungan itu.

“Memandangkan kesan negatif pandemik ditanggung bersama oleh majikan dan pekerja, kenapa majikan tidak berkongsi keuntungan ekonomi dalam bentuk kenaikan gaji dengan pekerja ketika ekonomi sedang pulih?”

Tiga hari lalu, MEF berkata ia mendesak kerajaan menghapuskan cadangan menaikkan gaji minimum negara kepada RM1,500, berkata langkah itu akan “membunuh perniagaan”.

Presidennya, Syed Hussain Syed Husman berkata masih banyak perniagaan terkesan daripada kejutan ekonomi akibat Covid-19 dan banjir baru-baru ini, menyebabkan mereka tidak bersedia untuk melaksanakan kenaikan gaji berkenaan.

LLRC berkata tidak adil untuk berkata kenaikan gaji minimum akan menyebabkan perniagaan ditutup kerana analisa ekonomi meramalkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar akan meningkat daripada 3.5% pada 2021 kepada 6.2%.

Gabungan itu berkata sudah tiba masanya majikan memberikan pampasan kepada pekerja dengan tangga gaji lebih tinggi ketika ekonomi kembali normal.

“Kita perlu ingat gaji minimum kita masih di bawah paras kemiskinan,” kata mereka.

LLRC juga mendesak pasaran pekerjaan supaya mengiktiraf elemen kemanusiaan dalam menentukan kos buruh dan pemain industri perlu melayan pekerja mereka dengan penuh kemanusiaan.

“Tolong layan pekerja sebagai manusia yang perlukan kehidupan baik, bukannya sekadar komoditi yang menjana keuntungan untuk pemilik kapital,” katanya.

LLRC mendesak Putrajaya mengumumkan gaji minimum baharu dan melengahkan pelaksanaan dasar itu akan melanggar tujuan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara, yang mensyaratkan gaji minimum disemak setiap dua tahun.

Kali terakhir Malaysia menaikkan gaji minimum ialah Februari 2020, daripada RM1,100 kepada RM1,200 sebulan. Kadar gaji mengikut jam dinaikkan daripada RM5.29 kepada RM5.77. – 9 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen