JUMLAH kanak-kanak Brazil berusia enam dan tujuh tahun yang tidak tahu membaca atau menulis meningkat 66% ketika pandemik Covid-19.
Menurut laporan kumpulan amal Todos Pela Educacao (All for Education), bilangan kanak-kanak buta huruf berusia enam dan tujuh tahun di Brazil meningkat kepada 2.4 juta orang pada tahun lalu berbanding 1.4 juta pada 2019.
Ia mewakili 40.8% kanak-kanak dalam kumpulan umur itu – petanda yang membimbangkan bagi negara yang sedia teruk dilanda pandemik Covid-19, dengan penutupan sekolah sekali gus merugikan golongan miskin.
Ia juga peratusan terbesar sejak penyimpanan rekod mengenai buta huruf kanak-kanak di Brazil bermula pada 2012.
Menurut kumpulan itu, peningkatan peratusan itu amat membimbangkan dan kerajaan perlu bertindak segera berikutan ia akan meningkatkan risiko kanak-kanak buta huruf lebih awal akan berhenti sekolah pada masa depan.
“Kami amat memerlukan dasar yang besar untuk membantu kanak-kanak tercicir,” kata pakar dasar pendidikan kumpulan itu, Gabriel Correa. – AFP, 9 Februari, 2022.
Komen