PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menganggap lebih setengah juta kes kematian akibat Covid-19 varian Omicron sejak dikesan, sebagai angka yang melampaui tragik.
Pengurus Insiden WHO Abdi Mahamud berkata 130 juta kes dan 500,000 kematian direkodkan di seluruh dunia sejak Omicron diisytiharkan sebagai varian membimbangkan pada November lalu.
Sejak itu, varian berkenaan dengan pantas mengambil alih kedudukan Delta sebagai varian dominan Covid-19 kerana ia lebih pantas menular walaupun hanya membawa gejala kurang teruk.
“Dalam era keberkesanan vaksin, separuh juta orang meninggal dunia, adalah sesuatu yang menyedihkan.
“Ketika setiap orang mengatakan Omicron lebih ringan, mereka terlepas perkara apabila setengah juta orang mati sejak ia dikesan.
“Ia melampaui tragik,” kata Mahamud ketika berinteraksi menerusi saluran sosial media WHO.
Ketua Teknikal Covid-19 WHO Maria Van Kerkhove berkata bilangan kes Omicron yang tinggi “mengejutkan”, manakala jumlah sebenar kes jangkitan dan kematian kemungkinan jauh lebih tinggi daripada diketahui.
“Ia menjadikan kes memuncak sebelum ini kelihatan hampir rata.
“Kita masih di tengah-tengah pandemik. Kita harap kita hampir mengakhirinya. Banyak negara masih belum melepasi kemuncak Omicron lagi,” katanya.
Van Kerkhove berkata beliau bimbang dengan angka kematian yang semakin meningkat beberapa minggu lalu berturut-turut.
WHO mengesan empat sub-keturunan Omicron. Walaupun substrain BA.1 adalah dominan, BA.2 lebih mudah menular dan diramalkan menyumbang kepada peningkatan bahagian kes Omicron.
Sejak Covid-19 muncul di China pada Disember 2019, ia membunuh hampir 5.75 juta orang, menurut data dikumpul AFP dari sumber rasmi setakat semalam. – AFP, 9 Februari, 2022.
Komen