AGENSI pengurusan banjir Jakarta melaporkan lebih 11,000 penduduk di tiga wilayah terjejas akibat banjir, dengan separuh daripadanya terpaksa dipindahkan, lapor Jakarta Post.
Sehingga lewat petang semalam, 7,288 keluarga membabitkan 11,450 penduduk di 12 daerah di timur, selatan dan barat Jakarta terjejas akibat banjir, menurut data pihak berkuasa.
Ribuan rumah dilaporkan ditenggelami air.
“Seramai 6,532 penduduk dipindahkan ke 31 tempat perlindungan di selatan dan timur Jakarta. Namun, ramai yang lain enggan meninggalkan rumah mereka,” kata jurucakap agensi banjir, Sutopo Purwo Nugroho dipetik daripada portal berita itu.
Paras air di empangan Katulampa di Bogor, Jawa Barat mencecah 240cm menyebabkan amaran tahap pertama dikeluarkan pada Isnin. Ia menyebabkan beberapa kawasan di bandar itu dinaiki air.
Di Jakarta Timur, 1,575 penduduk di daerah Kramatjati dipindahkan, disusuli dengan daerah Jatinegara dengan 1,057 mangsa.
Jakarta Post melaporkan di Jakarta Selatan kebanyakan mangsa yang terjejas tinggal di daerah Pancoran seramai 3,200 orang dan Tebet (700).
Pentadbiran kota Jakarta menyediakan 450 pam air untuk menangani banjir.
AFP melaporkan sekurang-kurangnya empat terbunuh dan dua lagi masih hilang akibat banjir dan tanah runtuh di ibu kota Indonesia itu.
Tiga mayat dikeluarkan daripada runtuhan lumpur dan batu selepas tanah runtuh berlaku akibat hujan lebat di sebuah kampung di Bogor. – 7 Februari, 2018.
Komen