DIANGGARKAN 13 juta penduduk di Kenya, Somalia dan Ethiopia mengalami kelaparan teruk apabila Tanduk Afrika berdepan kemarau terburuk dalam beberapa dekad, kata Program Makanan Sedunia (WFP) hari ini.
Tiga musim hujan berturut-turut gagal apabila wilayah itu mencatatkan keadaan paling kering sejak 1981, kata agensi PBB itu.
Kemarau memusnahkan tanaman dan menyebabkan kematian ternakan tinggi memaksa keluarga luar bandar bergantung yang bergantung pada penggembalaan dan pertanian keluar dari rumah mereka.
Air dan tanah ragut kekurangan bekalan serta ramalan hujan di bawah purata dalam beberapa bulan akan datang hanya mengancam lebih banyak kesengsaraan, kata Pengarah Wilayah WFP di Afrika Timur Michael Dunford.
“Tuaian rosak, ternakan mati dan kelaparan semakin meningkat apabila kemarau berulang menjejaskan Tanduk Afrika.
“Keadaan itu memerlukan tindakan kemanusiaan segera untuk mengelak berulangnya krisis seperti Somalia pada 2011 apabila 250,000 mati akibat kelaparan semasa kemarau yang berpanjangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Bantuan makanan sedang diagihkan merentasi kawasan kering Kenya, Ethiopia dan Somalia di mana kadar kekurangan zat makanan tinggi serta kira-kira 13 juta orang berisiko mengalami kelaparan teruk pada suku pertama tahun ini.
Kira-kira 5.7 juta memerlukan bantuan makanan di selatan dan tenggara Ethiopia termasuk setengah juta kanak-kanak serta ibu yang kekurangan zat makanan.
Di Somalia bilangan orang yang diklasifikasikan sebagai kelaparan teruk dijangka meningkat daripada 3.5 juta kepada 4.6 juta menjelang Mei melainkan campur tangan segera diambil.
Seramai 2.8 juta lagi orang memerlukan bantuan di tenggara dan utara Kenya di mana darurat kemarau diisytiharkan pada September.
WFP berkata sebanyak AS$327 juta diperlukan untuk bertindak balas terhadap keperluan segera dalam tempoh enam bulan akan datang dan menyokong komuniti pastoral untuk menjadi lebih berdaya tahan terhadap kejutan iklim yang berulang.
Pakar berkata kejadian cuaca ekstrem berlaku dengan peningkatan kekerapan akibat perubahan iklim dengan Afrika yang menyumbang paling sedikit kepada pemanasan global, menanggung beban yang paling teruk. – AFP, 8 Februari, 2022.
Komen