TAIWAN mengucapkan terima kasih kepada Amerika Syarikat (AS) pada Selasa kerana menjual peralatan dan perkhidmatan bernilai sehingga AS$100 juta bagi menyokong sistem pertahanan udara dan peluru berpandunya, ketika China meningkatkan pencerobohan pesawat perang ke zon pertahanan udara pulau itu.
Taiwan sentiasa di bawah ancaman pencerobohan berterusan oleh China yang menganggap pulau itu sebagai sebahagian daripada wilayahnya yang akan dirampas suatu hari nanti, secara kekerasan jika perlu.
Beijing telah meningkatkan pencerobohan ke dalam zon pertahanan udara Taiwan sejak beberapa bulan lepas, dengan suku akhir 2021 menyaksikan lonjakan besar-besaran.
Pada Selasa, Taipei menyatakan terima kasih kepada AS kerana meluluskan penjualan senjata bernilai AS$100 juta, yang akan mengekalkan sistem pertahanan udara peluru berpandu Patriotnya.
“Ini adalah penjualan senjata kedua kepada Taiwan sejak Presiden Joe Biden memegang jawatan dan kali pertama tahun ini,” kata jurucakap presiden Taiwan Xavier Chang dalam satu kenyataan.
“Ia mencerminkan perkongsian kukuh antara Taiwan dan AS.”
Kementerian pertahanan Taiwan berkata perjanjian itu dijangka berkuat kuasa pada Mac.
Menurut kenyataan Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan AS, perjanjian itu meliputi sokongan kejuruteraan dan penyelenggaraan sistem pertahanan udara dan akan “memastikan kesediaan untuk operasi udara”.
“Penerima akan menggunakan keupayaan ini sebagai penghalang kepada ancaman serantau dan untuk mengukuhkan pertahanan tanah air,” kata agensi AS itu.
Beijing kutuk penjualan
Jualan senjata utama pertama ke Taipei di bawah Biden adalah pada Ogos lepas, yang menyaksikan kelulusan 40 sistem artileri howitzer gerak sendiri 155mm M109A6.
Beijing pada Selasa menentang dan mengecam penjualan terbaharu itu, berkata ia bakal menjejaskan secara serius hubungan antara AS dan China, serta keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan.
“China akan ambil langkah yang sah dan kukuh untuk menegakkan kedaulatan dan kepentingan keselamatannya sendiri,” kata jurucakap kementerian luar Zhao Lijian, tanpa menyatakan apakah langkah itu.
Beijing menjadi semakin keras di bawah Presiden China Xi Jinping yang meningkatkan tekanan ketenteraan, diplomatik dan ekonomi ke atas Taiwan.
Tahun lepas, Taiwan merekodkan 969 pencerobohan oleh pesawat perang China, menurut pangkalan data yang disusun oleh AFP - lebih dua kali ganda berbanding kira-kira 380 yang dilakukan pada 2020.
Tahun ini kelihatan mengikuti trend sama: kementerian pertahanan merekodkan 52 pesawat pejuang memasuki zon itu dalam tempoh dua hari pada Januari, peningkatan yang besar dalam tempoh singkat. – AFP, 8 Februari, 2022.
Komen