LAUTAN manusia mengiringi majlis pengebumian Rayan Oram, kanak-kanak lelaki lima tahun yang terjatuh dan terperangkap lima hari di dalam perigi sedalam 32 meter.
Ratusan orang ramai kelihatan berada di tanah perkuburan di lokasi terpencil di utara wilayah Chefchaouen, beberapa kilometer dari lokasi tragedi itu berlaku. Suasana sedih menyelubungi mendengar imam membacakan doa.
Keranda kecil berisi jenazah Rayan dilitupi kain hijau tertera ayat Al-Quran. Jenazah dimasukkan ke dalam liang lahad sambil diiringi doa dan bacaan ayat suci.
Warga maya turut tidak terkecuali mengucapkan takziah atas pemergian kanak-kanak itu dengan media sosial dibanjiri ucapan dan mesej simpati serta doa untuk Rayan.
Pada lewat malam Sabtu lalu, orang ramai yang menunggu di tempat kejadian bersorak apabila Rayan berjaya dikeluarkan dari perigi berkenaan.
Namun, sorakan gembira bertukar hiba apabila Istana Diraja Maghribi mengesahkan Rayan menghembuskan nafas terakhir sejurus selepas berjaya dikeluarkan dan dibawa ke hospital berdekatan.
Raja Mohammed VI menghubungi ibu bapa Rayan untuk menzahirkan ucapan takziah atas pemergian anak mereka.
Media sosial di seluruh rantau Arab juga penuh dengan mesej, sokongan, tangisan dan penghargaan kepada petugas penyelamat.
Sepanjang operasi menyelamatkan Rayan, pihak berkuasa berkata mereka tidak dapat menentukan nasib kanak-kanak malang itu.
Rayan dilaporkan terjatuh dalam perigi pada petang Selasa minggu lalu, di mana insiden itu mengundang simpati masyarakat Maghribi dan dunia keseluruhannya.
Perigi hanya seluas 45cm itu terlalu sempit untuk penyelamat turun menyelamatkan Rayan dan sangat berisiko untuk meluaskannya, menyebabkan jentera membuat cerun ke dalam bukit untuk menyelamatkan kanak-kanak itu dari bahagian tepi.
Operasi itu bertambah rumit disebabkan campuran pelbagai jenis batu dan tanah berpasir, sekali gus meningkatkan risiko tanah runtuh. – AFP, 8 Februari, 2022.
Komen