Menteri India cadang ekosistem tenaga diperbaharui dengan Asean


Menteri Kuasa dan Tenaga Baharu & Diperbaharui India, R K Singh berkata negaranya dan Asean boleh bekerjasama membangunkan keseluruhan ekosistem RE dengan menggalakkan perkongsian pengetahuan, pembinaan kapasiti dan bantuan teknikal. – Gambar EPA, 8 Februari, 2022.

INDIA dan Asean boleh bekerjasama membangunkan keseluruhan ekosistem tenaga boleh diperbaharui (RE) serta meneroka inisiatif bersama dalam membina hab pembuatan RE di rantau ini.

Menteri Kuasa dan Tenaga Baharu & Diperbaharui India, R K Singh berkata ketika Persidangan Peringkat Tinggi Asean-India mengenai Tenaga Boleh Diperbaharui pada Isnin, kedua-dua pihak boleh bekerjasama membangunkan keseluruhan ekosistem RE dengan menggalakkan perkongsian pengetahuan, pembinaan kapasiti dan bantuan teknikal.

“Mereka juga boleh meneroka inisiatif bersama bagi pembangunan hab pembuatan tenaga boleh diperbaharui di rantau ini,” Singh dilaporkan sebagai berkata oleh Agensi Berita Vietnam.

Persidangan dua hari bertemakan “Pengalaman dan Inovasi untuk Pasaran Boleh Diperbaharui Bersepadu” yang berakhir pada Selasa dianjurkan Kementerian Tenaga Baharu dan Diperbaharui serta Kementerian Hal Ehwal Luar India.

Singh turut memuji usaha Asean mencapai pembangunan grid kuasa Asean (APG), dengan menyatakan bahawa India meramalkan peluang mengembangkan integrasi grid melangkaui blok itu ke benua kecil India selaras dengan inisiatif negaranya “Satu Matahari - Satu Dunia - Satu Grid”.

Beliau mengulangi komitmen India untuk bekerjasama dengan Asean bagi mewujudkan hubungan erat dalam sektor tenaga boleh diperbaharui berdasarkan sejarah dan kebudayaan.

Pada persidangan itu, menteri yang mengambil bahagian mengakui ancaman perubahan iklim dan mengulangi hasrat untuk beralih kepada RE bagi membina masa depan yang mampan.

Mereka menekankan keperluan mengukuhkan kerjasama India - Asean dalam sektor itu dan menantikan persidangan akan datang bagi mengenal pasti bidang dan inisiatif kukuh berkaitan hal itu. – Bernama, 8 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen