Musim kempen pilihan raya bermula di Filipina


Kempen pilihan raya presiden Filipina bermula hari ini untuk tiga bulan membabitkan beberapa calon popular termasuk anak lelaki bekas diktator Ferdinand Marcos. – Gambar EPA, 8 Februari, 2022.

PERLUMBAAN merebut tempat untuk menerajui Filipina bermula hari ini, dengan anak lelaki bekas diktator Ferdinand Marcos menjadi antara calon kegemaran untuk menewaskan Rodrigo Duterte, dan mengembalikan kaum kerabatnya ke istana presiden, di mana mereka sekeluarga pernah menghuninya dan kemudian melarikan diri.

Calon memulakan kempen tiga bulan dalam suasana huru-hara dan pelbagai cara untuk memikat jutaan pengundi yang biasanya lebih berminat dengan personality berbanding dasar negara.

Lebih 35 tahun selepas negara itu bangkit daripada kepimpinan diktator bapanya, kaji selidik menunjukkan Ferdinand Marcos Jr mendahului dan mungkin memenangi pilihan raya yang bakal diadakan pada 9 Mei.

Dengan lonjakan kempen di media sosial secara besar-besaran dan bergabung dengan calon naib presiden Sara Duterte, Marcos Jr – menjadi gabungan popular di Filipina – berikrar untuk “menyatukan negara”.

“Ini bukan masanya dan tempatnya untuk bergaduh tentang sejarah Filipina,” kata Marcos Jr kepada stesen televisyen GMA.

“Kita perlu berbincang tentang apa yang perlu dilakukan dalam tempoh beberapa tahun akan datang untuk kembalikan peluang pekerjaan kepada rakyat supaya mereka ada duit dalam poket.”

Penyandang naib presiden Leni Robredo – bekas peguam dan pesaing Marcos Jr dan Duterte – berada di kedudukan jauh dalam kaji selidik pengundi.

Memulakan kempennya dengan warna merah jambu di bandar Lupi di tengah wilayah Camarines Sur, Robredo memberitahu penyokongnya beliau berani kerana “anda semua ada bersama saya”.

Robredo mendahului calon datuk bandar selebriti Francisco Domagoso, bintang tinju Manny Pacquiao dan bekas ketua polis Panfilo Lacson. – AFP, 8 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen