Didakwa merogol, Tariq Ramadan tidak dibenar ikat jamin


Tariq Ramadan kerap menjadi tetamu undangan dalam perdebatan televisyen di Perancis dan sering mengkritik sarjana Islam yang menimbulkan ideologi melampau kerana menafsir teks agama secara literal. – Gambar AFP, 7 Februari, 2018.

ILMUWAN Islam terkemuka Tariq Ramadan tidak dibenarkan ikat jamin di mahkamah Perancis semalam, menurut sumber kehakiman, empat hari selepas beliau ditahan reman atas tuduhan merogol.

Dua wanita Islam menuduh Tariq, 55, merogol mereka.

Tariq ialah profesor di Universiti Oxford dan cucu kepada pengasas gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir.

Kedua-dua wanita terbabit membuat dakwaan itu tahun lalu dengan mula berkongsi kejadian serangan seksual dialami menerusi “Me Too” dan “Balance Ton Porc”, kempen yang tercetus daripada pendedahan kes serangan seksual dilakukan tokoh besar Hollywood, Harvey Weinstein.

Tariq yang bercuti tugas dari Oxford pada November selepas tuduhan itu timbul, adalah individu paling berprofil tinggi yang ditahan di Perancis susulan kempen itu.

Bapa kepada empat anak itu menafikan tuduhan berkenaan dan berkata beliau menjadi mangsa kempen itu.

Beliau ditahan untuk soal siasat di Paris selama dua hari pada minggu lalu sebelum didakwa dan ditahan pada Jumaat.

Tariq kerap menjadi tetamu undangan dalam perdebatan televisyen di Perancis dan sering mengkritik sarjana Islam yang menimbulkan ideologi melampau kerana menafsir teks agama secara literal.

Wanita pertama yang membuat tuduhan ialah Henda Ayari, 41, seorang aktivis feminis. Dia mendakwa Tariq merogolnya di Paris pada 2012.

Seorang lagi mangsa berusia 40 tahun, wanita kurang upaya yang juga saudara baru menggunakan nama “Christelle”, mendakwa Tariq merogol dan memukulnya di Lyon pada 2009.

Sumber dalaman berkata dua wanita terbabit memberi keterangan tanpa nama terhadap Tariq dan mungkin akan memfailkan aduan secara rasmi. – AFP, 7 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen