PIHAK berkuasa Kanada buntu untuk menangani protes pemandu trak terhadap sekatan Covid-19 yang melumpuhkan ibu kota negara itu selama berhari-hari dan bakal mencetuskan krisis politik di seluruh negara terhadap Perdana Menteri Justin Trudeau.
Datuk Bandar Ottawa Jim Watson menggesa kerajaan persekutuan melantik orang tengah untuk berunding dengan penunjuk perasaan dan mencari jalan penyelesaian bagi mengakhiri demonstrasi selama 10 hari ini yang menyebabkan kemarahan penduduk dengan bunyi hon yang kuat dan bau busuk asap diesel.
Pada Aad, Watson mengisytiharkan darurat di ibu kota itu, menyifatkan penunjuk perasaan menjajah dan sudah di luar kawalan.
Demonstrasi “Konvoi Kebebasan” itu bermula pada 9 Januari di barat Kanada apabila pemandu trak protes dan marah dengan syarat mengambil vaksin bagi menyeberang sempadan AS-Kanada, sebelum berkembang menjadi demonstrasi terhadap semua sekatan kesihatan Covid-19 dan kerajaan Trudeau.
Berdepan kritikan kerana menyebabkan ibu kota disekat dan banyak perniagaan terpaksa ditutup, polis Ottawa pada Ahad mengumumkan langkah baharu dengan melarang sesiapa pun membawa minyak dan bekalan lain kepada kumpulan pemandu trak berkenaan.
“Sesiapa yang cuba membawa barang sokongan kepada penunjuk perasaan akan tertakluk kepada ditahan,” kata polis.
Trudeau, yang masih dalam kuarantin kendiri selepas positif Covid-19 seminggu lalu, tidak mengulas tentang protes itu. – AFP, 8 Februari, 2022.
Komen