AMERIKA Syarikat (AS) menegaskan perjanjian dengan Iran berkenaan program nuklear boleh dilakukan tetapi perlu diselesaikan segera, di mana Tehran pada masa ini sedang meningkatkan keupayaan senjata itu.
Rundingan dihadiri China, Perancis, Jerman, Russia, United Kingdom (UK), Iran dan AS akan bersambung di Vienna selepas terhenti hujung bulan lalu.
Usaha menghidupkan semula perjanjian 2015 itu bertujuan menghalang Iran memiliki bom atom, sekali gus menafikan matlamat republik berkenaan.
“Perjanjian yang menangani kebimbangan teras semua pihak sudah dijangka, tetapi jika ia tidak dicapai dalam beberapa minggu akan datang, kemajuan nuklear Iran yang berterusan akan menyebabkan kita tidak dapat kembali ke JCPOA (Pelan Tindakan Komprehensif Bersama),” kata jurucakap Jabatan Negara AS, merujuk kepada perjanjian rangka kerja 2015.
Pihak berkenaan menjalankan rundingan di Vienna sejak tahun lalu dengan penyertaan tidak langsung oleh AS.
Bekas presiden AS Donald Trump secara unilateral menarik diri daripada pakatan itu pada 2018 dan mengenakan sekatan ekonomi ketat ke atas Iran, sehingga menyebabkan republik Islam itu menarik diri daripada komitmen di bawah perjanjian itu dan mula meningkatkan aktiviti nuklearnya.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Saeed Khatibzadeh berkata jawapan dibawa AS ke Vienna pada Selasa akan menentukan bila perjanjian itu boleh dimeterai.
“Kami melakukan kemajuan signifikan dalam pelbagai bidang dalam rundingan Vienna termasuk jaminan bahawa Iran mengharapkan pentadbiran baharu AS tidak akan melanggari perjanjian itu sekali lagi,” katanya kepada wartawan.
Sementara itu, pakar mendakwa Iran terlalu banyak menyimpang daripada sekatan perjanjian 2015 sehinggakan mereka hanya berbaki beberapa minggu lagi untuk mempunyai bahan nuklear bagi membangunkan senjata atom.
Perunding Russia, Mikhail Ulyanov, dalam satu temubual yang disiarkan akhbar Kommersant berkata draf dokumen akhir sudah dirangka dan terdapat beberapa perkara lagi yang harus diselesaikan. – AFP, 8 Februari, 2022.
Komen