-2.jpg)
SAYA merujuk kepada program Jualan Prihatin Rakyat yang berlangsung pada Jumaat lepas (4 Februari) atas anjuran Perikatan Nasional (PN) bertempat di Dataran Pagoh Jaya, Pagoh, Johor.
Program tersebut diwar-warkan menjual barang asas keperluan harian seperti satu set 5kg beras, 1kg gula, seekor ayam dan sepapan telur.
Malah juga diiklankan harga istimewa akan ditawarkan daripada harga pasaran dan rakyat biasa mampu jimat RM20 daripada pembelian set tersebut.
Ini antara gimik murahan demi menarik pengundi sempena pilihan raya negeri yang akan berlangsung tidak lama lagi, akan tetapi ia tidak memberi impak berterusan kepada rakyat jelata.
Saya juga kesal dengan realiti kenaikan harga bagi keperluan harian, tetapi ini tidak menghalalkan perbuatan PN seperti menganjurkan Jualan Prihatin Rakyat.
Malah, ia lagi mengeruhkan keadaan kerana kita menormalisasikan budaya yang memurahkan undi rakyat dan membebankan pemain industri kecil.
Tambahan pula, sebagai sebuah parti kerajaan, PN haruslah menghasilkan cadangan dan polisi yang lebih kukuh untuk menghentikan kenaikan harga barang.
Lebih 1.6 juta pengguna komersial dan industri perlu membayar lebih kurang 20% lebih untuk bil elektrik iaitu 3.7 sen kilowatt-jam (kWj) bermula 1 Februari.
Bagaimana pemain industri kecil dan peniaga kecil, yang juga pemain industri, mampu membayar bil elektrik yang begitu tinggi?
Hasilnya, pihak pembekal dan peniaga kecil terpaksa meninggikan harga barang untuk menampung kos. Dan beban itu jatuh kepada pengguna untuk membeli barang mereka dengan harga yang lebih tinggi.
Apakah pendirian PN terhadap kenaikan tarif elektrik? Bukankah hentikan kenaikan tarif elektrik akan bantu lebih ramai rakyat jelata secara berterusan?
Saya ingin mengingatkan PN dan menteri PN, mereka harus iltizamkan rancangan yang lebih teliti supaya kita tidak membebankan pembekal dan peniaga kecil.
Saya akur promosi sebegini dapat mendapat tarikan kuat bagi pengundi tetapi kita kena menilai impak program seperti ini dalam konteks gaji minima yang rendah, kos sara hidup semakin tinggi dan kos yang terpaksa ditanggung pembekal dan peniaga kecil. – 8 Februari, 2022.
* Teo Nie Ching ialah ahli Parlimen Kulai.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen