EROPAH sedang berdepan ancaman keselamatan paling serius sejak Perang Dingin, kata Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU) Josep Borrell, yang turut menyuarakan harapan penyelesaian diplomatik bagi menangani krisis Russia-Ukraine.
Bercakap pada sidang media bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken, Borrell berkata mereka berkongsi kebimbangan serius berhubung situasi di sempadan negara bekas Soviet itu.
“Berdasarkan pemahaman saya, kita berada dalam detik keselamatan paling berbahaya di Eropah sejak selepas tamatnya Perang Dingin.
“Tiada sesiapa pun yang bertindak menempatkan 140,000 tentera lengkap bersenjata di sempadan sesebuah negara tanpa menggambarkan ancaman serius.
“140,000 tentera yang berkumpul di sempadan bukan untuk pergi minum teh,” katanya.
Pegawai AS mendakwa Moscow menghimpunkan 110,000 tentera berhampiran sempadan Ukraine, sekali gus akan mencapai 150,000 tentera, memadai untuk melakukan pencerobohan berskala penuh dalam beberapa minggu akan datang.
Blinken menafikan pendirian Washington situasi itu mencemaskan dengan berkata “Ini bukan kecemasan. Ini adalah fakta”.
AS dan EU, kedua-duanya mengancam untuk membalas dengan mengenakan sekatan yang belum pernah berlaku sekiranya Presiden Russia Vladimir Putin meneruskan rancangannya melakukan pencerobohan terhadap Ukraine.
Namun, Blinken dan Borrell menegaskan diplomasi masih menjadi penyelesaian untuk membawa kebuntuan kepada penyelesaian secara aman.
“Kami percaya jalan keluar diplomatik daripada krisis masih boleh dilakukan. Kami berharap yang terbaik tetapi kami bersedia untuk yang terburuk,” kata Borrell. – AFP, 8 Februari, 2022.
Komen