Pasukan keselamatan Sudan tembak gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan 


Penunjuk perasaan membina penghadang daripada batu bagi mengelakkan tembakan gas pemedih mata dan kemaraan pasukan keselamatan.– Gambar EPA, 8 Februari, 2022.

PASUKAN keselamatan Sudan melepaskan gas pemedih mata ke arah ribuan penunjuk perasaan yang menuntut pemerintahan awam dan keadilan bagi penunjuk perasaan yang terbunuh sejak rampasan kuasa tahun lalu, kata saksi dan wartawan AFP.

Gas pemedih mata dilepaskan ketika penunjuk perasaan sedang menuju ke istana presiden di ibu negara Khartoum, dalam perhimpunan terbaru menentang rampasan kuasa Oktober yang diketuai oleh ketua tentera Abdel Fattah al-Burhan.

Penunjuk perasaan dilihat membaling batu ke arah pasukan keselamatan manakala yang lain membantu orang yang cedera akibat kanister gas pemedih mata, tambah wartawan itu.

Manakala yang lain bertindak membakar tayar untuk dijadikan penghadang di seberang jalan dan membuat penghadang daripada batu.

Gas pemedih mata turut dilepaskan di bandar berkembar Omdurman di ibu negara, kata saksi.

Protes besar-besaran kerap berlaku negara timur laut Afrika yang bermasalah itu sejak rampasan kuasa, yang menggagalkan peralihan rapuh Sudan kepada pemerintahan awam berikutan penyingkiran presiden autokratik Omar al-Bashir pada 2019.

Sekurang-kurangnya 79 orang terbunuh dan ratusan cedera dalam tindakan keras terhadap demonstrasi anti-rampasan kuasa, menurut kumpulan perubatan bebas.

Bantahan hari Isnin berlaku walaupun terdapat kawalan keselamatan yang ketat di Khartoum, Omdurman, dan Khartoum Utara.

Ia berlaku hanya dua hari selepas ribuan penunjuk perasaan pro-tentera berhimpun menentang rundingan PBB baru-baru ini yang bertujuan membantu Sudan menyelesaikan krisis politik. – AFP, 8 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen