Penunjuk perasaan serbu ketua pembangkang UK di luar Parlimen


Penunjuk perasaan berhimpun di luar bangunan Parlimen Britain bagi membantah vaksinasi wajib dan perintah berkurung.– Gambar EPA, 8 Februari, 2022.

PENUNJUK perasaan menyerbu ketua pembangkang Britain, Keir Starmer pada hari Isnin ketika beliau meninggalkan Dewan Parlimen di London, dengan ramai yang menjerit “pengkhianat”, mendorong polis bertindak untuk melindunginya.

Sebuah rakaman video yang disiarkan dalam talian menunjukkan pemimpin Buruh itu diasak, sebelum polis campur tangan dan mengiringinya ke sebuah kereta.

Seorang penunjuk perasaan mempersoalkan mengapa beliau bertindak melindungi pedofil semasa memegang jawatan sebagai pendakwa raya tertinggi negara sebelum ini.

Perdana Menteri Boris Johnson telah dikecam sejak minggu lalu selepas menuduh Starmer tidak mengambil tindakan terhadap pedofil selebriti terkenal Jimmy Savile ketika mengetuai Perkhidmatan Pendakwaan Diraja, walaupun tidak bertanggungjawab secara peribadi dalam kes itu.

Ahli Parlimen Tory Julian Smith menyeru ketua partinya untuk menarik balik komen itu, dengan tweet: “Apa yang berlaku kepada Keir Starmer di luar Parlimen adalah mengerikan.

“Ia adalah penting untuk demokrasi kita dan keselamatannya bahawa fitnah palsu Savile terhadapnya ditarik balik sepenuhnya,” tambahnya.

Johnson kemudiannya menerusi Twitter berkata “tingkah laku yang ditujukan kepada ketua pembangkang malam ini benar-benar memalukan.

“Segala bentuk gangguan terhadap wakil rakyat kita tidak boleh diterima sama sekali. Saya berterima kasih kepada polis kerana bertindak dengan pantas.”

Penunjuk perasaan lain yang terlibat turut menjerit “mengapa kamu tidak menentang?”, “pengkhianat”, “bagaimana dengan golongan pertengahan?” dan “mengapa kamu kenakan Julian Assange, mengapa kamu sasarkan wartawan?”, satu lagi rujukan mengenai peranannya sebagai pendakwa.

Polis Metropolitan menerusi satu kenyataan berkata: “Pada 5.10 petang Isnin, 7 Februari, seorang lelaki yang telah dikelilingi oleh sekumpulan penunjuk perasaan berhampiran New Scotland Yard, telah dibawa pergi dari tempat kejadian dengan sebuah kereta polis.”

Beberapa penunjuk perasaan memegang papan tanda menentang vaksinasi wajib dan langkah perintah berkurung.

Seorang lelaki dan seorang wanita ditahan di tempat kejadian selepas membaling kon trafik ke arah pegawai polis, kata polis. – AFP, 8 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen