Lata Mangeshkar dan Imam Hussein


Faisal Tehrani

6 FEBRUARI lalu, kebetulan sekali saya sedang mendengar lagu-lagu dari filem Aa Gale Lag Jaa (1973) yang didendangkan antara lain oleh Kishore Kumar, Sushma Shreshta dan tentunya Lata Mangeshkar, apabila berita pecah dari benua India menyatakan, Didi, nama panggilan untuk Lata, meninggal dunia di usia 92 tahun.

Sebelum itu Lata Mangeshkar telah berada hampir sebulan di Breach Candy Hospital setelah disahkan dijangkiti Covid-19 dan pneumonia. Kasihan sekali Lata berdepan dengan kegagalan pelbagai organ sebelum akhirnya menghembuskan nafas terakhir.

Bharat Ratna Lata Mangeshkar diberikan pengkebumian negara di Mumbai dengan tempoh berkabung seluruh India selama dua hari. Ramai artis Bollywood termasuk Shah Rukh Khan, dan Amir Khan hadir untuk memberikan penghormatan terakhir sebelum jasadnya dibakar menurut upacara keagamaan Hindu.

Lata yang begitu prolifik menyanyikan lebih 30 ribu lagu, dalam 36 buah bahasa dan melakukannya selama tujuh dekad tanpa henti. Turut mencipta nama bersama-samanya ialah saudara perempuan, Asha Bhosle.

Lata Mangeshkar lahir di Indore, India tengah dalam negeri Madhya Pradesh pada 28 September 1929. Sebagai seorang yang berketurunan Maharashtrian Brahmin, zaman kanak-kanak Lata amat terjaga di mana sejak berusia 5 tahun beliau telah didedahkan dengan muzik menerusi bapanya, Deenanath Mangeshkar, seorang pengamal teater klasik India ketika itu.

Setelah bapanya meninggal dunia pada tahun 1942, Lata berpindah ke Mumbai dan mulai menyanyi untuk menyara keluarga dan membolehkannya menerobos masuk ke dalam dunia sinema India, iaitu sebagai penyanyi latar filem (dan pelakon dengan watak-watak kecil).

Di Mumbai beliau beroleh asuhan penyanyi dan pemuzik klasik India yang beragama Islam, Ustad Aman Ali Khan di mana Lata sempat menjadi penyanyi iringan untuknya, sebelum ikon tersebut meninggal dunia pada tahun 1953.

Kemasyhuran Lata bermula pada tahun 1949 apabila lagu nyanyiannya Aayega Aanewala untuk filem Mahal meledak. Sejak itu Lata tidak pernah berhenti menyanyi di mana lagu-lagu yang dialunkan olehnya seperti Lag Jaa Gale, Aap ki Najaro ne Samajha dan Ajeeb Dastan Hai Yeh menyentuh jiwa pendengar dan penonton sinema India.

Suara Lata menjadi suara aktres India melampaui generasi, daripada Madhubala sehingga Priyanka Chopra.

Atas keluarbiasaan itu, Lata beroleh anugerah tertinggi dari kerajaan India iaitu Bharat Ratna, pada tahun 2001.

Saya telah menyatakan lebih awal yang Lata Mangeshkar adalah dari keturunan Maharashtrian Brahmin. Hal inilah yang nanti menghubungkan Lata dengan Imam Hussein.

Dalam mitos tertentu keturunan Brahmin India, mereka percaya bahawa terdapat seorang pendita dalam kalangan mereka bernama Rahab Dutt yang tidak punya anak. Oleh itu, Dutt telah melakukan satu perjalanan yang jauh untuk bertemu Imam Hussein yang mana baginda dikatakan mendoakan Rahab Dutt beroleh zuriat.

Rahab, pendita Brahmin itu dikatakan beroleh tujuh orang anak lelaki yang kemudian keturunannya akan dirujuk sebagai Hussaini Brahmin.

Rahab Dutt, dalam mitos Brahmin India ini juga beroleh dua orang puteri iaitu Shahr Banu dan Mahr Banu. Shahr Banu dikatakan berkahwin dengan Imam Hussein iaitu cucunda Nabi Muhammad saw yang kemudian melahirkan Imam Zainal Abidin (cicit Rasulullah saw). Manakala Mahr Banu pula dikahwinkan dengan seorang raja Hindu bernama Raja Gupt.

Tujuh orang anak lelaki Rahab Dutt - menurut mitos itu - syahid terkorban di Karbala mempertahankan Imam Hussein.

Sudah tentu sukar untuk orang Islam mempercayai mitos tersebut, namanya pun mitos. Akan tetapi ia menjelaskan betapa kuat dan berseliratnya hubungan Hindu dan Islam di India.

Terdapat cerita hari ini bahawa sesetengah penganut Hindu dari pedalaman terkejut mendengar umat Islam yang mereka temui di kota besar India misalnya tidak mengenal Imam Hussain berbanding mereka sendiri.

Hal ini diterangkan kepada saya, oleh seorang panel dari Hydrabad India dalam satu forum mengenai seni Muharram anjuran Universiti Malaya beberapa bulan lalu (pengarah projek ini ialah pelakon berwibawa Rosdeen Suboh).

Perkara kedua yang mendekatkan Lata Mangeshkar dengan Imam Hussein ialah menerusi perantara penyair genre marsiya yang tersohor, Mir Babar Ali Anees, yang dikenali sebagai Mir Anees dari Faizabad (lahir 1803 dan meninggal dunia di Lucknow pada tahun 1874). Beliau ialah penyair Urdu yang berkarya dalam bahasa Parsi, Urdu, Arab, dan Sanskrit.

Mir Anees sering mengalunkan puisi genre marsiya ini di majlis-majlis keagamaan khusus yang melibatkan bulan Muharram di mana insiden berdarah atau tragedi Karbala diceritakan kembali kepada pendengar dan masyarakat.

Pada tahun 1977, Lata Mangeshkar mengalunkan marsiya karya Mir Anees ini untuk filem berjudul Shankar Hussain. Lirik lagu tersebut merupakan satu eulogi dan perkabungan untuk syuhada Karbala.

Lata menyanyikan marsiya ini dengan suara tersekat, sebak, kesakitan dan penuh emosi yang menggambarkan kesakitan yang dialami oleh Imam Hussein lantaran dibunuh dengan kejam oleh tentera Yazid.

Saya difahamkan lagu nyanyian Lata Mangeshkar ini sering dialunkan ketika bulan Muharram dan sering mendorong tangisan dan kedukaan pencinta ahlul bait di benua itu.

“Hussain jab ke chale baad-i-dopahar ran ko

Na tha koi jo thamay rakaab-i-tausan ko

Sakeena jhaad rahin thi abaa ke daaman ko

Hussain chupke khade the jhukaye gardan ko

Na aasraa tha koiShah-e-Karbalaai ko

Faqat behen ne kiya tha sawaar bhai ko”

Dalam bait-bait di atas Mir Anees menuliskan begini, memperihalkan tangis Sakinah iaitu anak Saidina Hussein yang pilu oleh tiadanya bantuan daripada sesiapa pun untuk ayahnya, dan bagaimana Zainab, adik perempuan Imam Hussein meneruskan perjuangan setelah pertumpahan darah di Karbala:

“Hussein, meninggalkan tengahari menuju ke medan perang

Tiada satu jiwa yang bernyawa untuk menopang kaki kudanya

Sakinah (puteri Hussein) menjelma dengan basah abaya

Hussein yang pasrah tunduk berdiri dengan kepala tertancap panah.

Tidak ada jiwa yang hidup untuk membantu penghulu Karbala yang berdarah,

tiada, tetapi si saudara perempuan menunggang kuda abangnya,

di tengah hari untuk ke medan pertempuran.”

Nyanyian berhantu Lata Mangeshkar yang sering dimainkan berulang-ulang pada bulan Muharram di India, sedikit sebanyak meredam ketegangan hubungan antara Hindu-Islam.

Suara Lata Mangeshkaer mengalunkan marsiya Mir Anees itu sering ditangisi oleh penganut Syiah Imamiyyah dan menjadi satu simbol pengabdian dan sumbangan seorang seniwati yang amat disayangi.

Ada banyak sebab Lata Mangeshkar diingati. Untuk minoriti di India, tidaklah menghairankan yang Lata dikenang dengan penuh kasih sayang kerana membuatkan banyak mata menangis oleh kesyahidan Imam Hussein di Karbala. Iaitu satu peristiwa bersejarah yang kurang diketahui ramai umat Islam mutakhir ini.

Semoga Lata terlepas dari nestapa lingkaran kehidupan semula dan beroleh keabadian (moksha) atas jasanya untuk ahlul bait itu.

Selamat beradu Lata Mangeshkar, si burung bulbul, sang burung perindu malam India yang luar biasa suaranya. – 8 Februari, 2022.


 

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen