Muda guna lambang sendiri, kata Syed Saddiq


Ravin Palanisamy

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kerjasama pihaknya dengan PH bertujuan mengurangkan pertindihan kerusi sesama parti pembangkang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 8 Februari, 2022.

IKATAN Demokratik Malaysia (Muda) akan bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menggunakan lambang sendiri, kata presiden parti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Keputusan itu muktamad biarpun Muda setuju untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan pada pilihan raya itu, katanya.

“Apa yang jelas ialah Muda masuk pilihan raya ini dengan lambang Muda, dengan prinsip dan pendirian politik kami, dengan unjuran dasar yang kami atur untuk merancakkan kemajuan Johor.

“Ini sudah diputuskan,” katanya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight.

Muda pada masa ini sedang merundingkan pengagihan kerusi dengan parti-parti gabungan PH iaitu PKR, Amanah dan DAP.

PKR juga akan menggunakan lambangnya sendiri pada PRN Johor, sama seperti yang dipakai oleh PH dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Amanah dan DAP bagaimanapun akan menggunakan lambang PH, yang diluluskan pendaftarannya tidak lama selepas PRU14.

Syed Saddiq yang juga ahli Parlimen Muar berkata kerjasama pihaknya dengan PH bertujuan mengurangkan pertindihan kerusi sesama parti pembangkang dan untuk menyusun satu kesatuan dalam usaha menggulingkan Umno dan Barisan Nasional (BN) di Johor.

“Dalam soal rakan-rakan parti pembangkang, kita akan berusaha sebaik mungkin untuk mengurangkan pertindihan kerusi. Kita akan bekerjasama membangunkan satu naratif yang kuat untuk menjadi pilihan yang kuat kepada rakyat Johor demi mengalahkan kerajaan Umno, BN yang rasuah dan memecah belah.

“Ya, kita akan halakan serangan kepada mereka,” katanya.

Underdog

Menjelang pilihan raya pertamanya selepas disahkan berdaftar sebagai parti politik dua bulan lepas, Syed Saddiq mengaku Muda bukan pilihan utama dalam PRN Johor.

Beliau menerima hakikat bahawa Muda menghadapi cabaran hebat untuk bersaing dengan parti-parti lain yang ternama, namun mereka sedia mengharungi cabaran itu.

“Muda yang paling underdog di Johor,” katanya.

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata parti itu akan bertanding PRN Johor menggunakan lambang sendiri biarkan mereka setuju bekerjasama dengan Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari, 2022.

“Ini pilihan raya kami yang pertama. Kami terdiri daripada kebanyakannya anak dan profesional, teknokrat, penjawat awam, bekas penjawat awam, pemimpin NGO, wakil masyarakat, yang mungkin bukan orang kuat dalam politik tetapi ada rakam jejak berkhidmat dan mengatur polisi dalam kerjaya masing-masing.

“Kami sedar cabarannya hebat. Kami tahu yang kami tiada dana, kakitangan seperti parti politik lain yang sudah ada sejak 30, 40, 50 tahun lalu.

“Maknanya kami akan bekerja 10 kali ganda untuk memenangi undi rakyat. Maknanya kami akan fokus pada polisi, yang akan membangunkan Johor menjadi negara maju. Jadi, sekiranya kami diberi peluang, kami akan bekerja lebih keras berbanding yang lain,” katanya.

Politik baharu

Bekas menteri belia dan sukan dalam pentadbiran PH berkata PRN Johor akan jadi pilihan raya paling sukar memandang gelombang baharu penularan Covid-19 varian Omicron.

Selain jumlah kes yang semakin meningkat dari hari ke hari, Syed Saddiq menarik perhatian akan sikap masyarakat yang sudah muak dengan politik.

Dua faktor ini boleh menyebabkan jumlah pengundi yang keluar mengundi rendah, katanya.

“Saya berterusan mengingatkan ahli-ahli Muda bahawa kita sedang menyertai pilihan raya negeri yang paling sukar.

“Ia diadakan ketika gelombang Omicron melanda yang akan menyebabkan jumlah pengundi rendah. Ia diadakan ketika ratusan dan ribuan pengundi Johor tersangkut di Singapura dan tidak boleh balik mengundi.

“Ia diadakan ketika wujud sikap acuh tak acuh pengundi disebabkan amalan politik lama,” katanya.

Bagaimanapun Syed Saddiq berkata Muda bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan.

“Fokus kita ialah membetulkan Johor dan Malaysia. Kita ada jenama politik baharu, suatu bentuk politik yang dipulihkan semula untuk membetulkan Malaysia demi kebaikan, membetulkan institusi yang akan menjadikan negara ini maju dan bermaruah,” tambahnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual bermesyuarat esok untuk menentukan tarikh dan proses PRN Johor. – 8 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen