Industri perlu terus amal langkah cegah Covid-19 elak gangguan operasi, kata Azmin 


PIHAK syarikat dan industri diingatkan supaya terus mengamalkan langkah pencegahan penularan Covid-19 di tempat kerja sebagaimana yang disaran Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan sektor itu terus beroperasi ketika negara berdepan dengan gelombang Covid-19 varian Omicron. 

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkata inisiatif Safe@Work perlu kekal dipraktikan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja terus terjamin sekali gus mengelakkan gangguan operasi syarikat dan mengurangkan impak terhadap produktiviti apabila terdapat kes positif Covid-19. 

“Safe@Work (bertujuan) supaya diwujudkan ‘gelembung’ di tempat penginapan pekerja ke lokasi kilang, sekiranya ada kes baharu tiada keperluan untuk kita menutup keseluruhan kemudahan ini, sebaliknya pekerja akan diasingkan dan diberikan rawatan sewajarnya, ini dapat memastikan aktiviti perniagaan dapat diteruskan.

“Kita juga menggalakkan syarikat dan industri meneruskan usaha pemeriksaan membuat ujian secara berkala supaya pekerja yang hadir sihat, dilindungi dan tidak berlaku keadaan yang memaksa kita tutup operasi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kilang STMicroelectronics Sdn Bhd di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa merujuk kepada strategi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menghadapi gelombang Omicron berikutan peningkatan kes Covid-19. – Bernama, 7 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen