Hakim benar saman ibu model Belanda didengar di Mahkamah Tinggi


SAMAN difailkan ibu model Belanda, mendiang Ivana Esther Robert Smit terhadap polis, menteri dalam negeri dan kerajaan Malaysia yang didakwa gagal melaksanakan tanggungjawab serta cuai dalam siasatan bagi menentukan punca kematian anak perempuannya, akan diteruskan perbicaraan sepenuhnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Yaacob Md Sam dalam keputusan sebulat suara itu membenarkan rayuan Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan samannya.

Turut bersidang Supang Lian dan Ghazali Cha.

Peguam SN Nair yang mewakili Verstappen memberitahu pemberita bahawa panel hakim berpendapat bahawa kes itu boleh dirayu dan membenarkan rayuan tanpa perintah mengenai kos. Prosiding dijalankan secara maya.

“Mahkamah memerintahkan writ dan pernyataan tuntutan oleh perayu (Verstappen) dikembalikan semula. Mahkamah juga memerintahkan kes itu dihantar ke Mahkamah Tinggi lain untuk pengurusan kes dan untuk perbicaraan. Tiada tarikh baharu ditetapkan setakat ini,” katanya.

Verstappen, 58, memfailkan rayuan pada 18 Mei, 2021, menamakan Ketua Polis Negara, ASP Faizal Abdullah (Pegawai Penyiasat Polis Daerah Dang Wangi), menteri dalam negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Mengikut notis rayuan itu, Verstappen tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Akhtar Tahir semasa pengurusan kes secara dalam talian pada 21 April lepas.

Verstappen mengemukakan rayuan terhadap keseluruhan keputusan mahkamah yang membatalkan samannya dengan kebebasan untuk memfailkan semula selepas pernyataan tuntutan didapati tidak mematuhi Aturan 18 Kaedah 7 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Dalam penyataan tuntutan yang difailkan pada 20 November 2020, Verstappen mendakwa anak perempuannya yang berusia 18 tahun itu ditemukan maut di tingkat enam CapSquare Residence di Kuala Lumpur pada 7 Disember 2017 selepas jatuh dari tingkat 20 unit kondominium milik pasangan Amerika iaitu Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.

Verstappen mendakwa beliau dimaklumkan mengenai kematian anaknya pada atau sekitar petang 7 Disember 2017 dan berlepas ke Kuala Lumpur dari Belanda.

Sejurus tiba di Malaysia pada 9 Disember 2017, Verstappen mendakwa defendan meminta beliau mengenal pasti mayat anaknya di Hospital Kuala Lumpur.

Beliau turut dimaklumkan oleh defendan dan seseorang bernama Sarjan Haliza (pegawai penyiasat pertama) bahawa jasad mangsa ditemukan dalam keadaan bogel di balkoni tingkat enam kondominium itu dan anaknya membunuh diri.

Wanita itu mendakwa defendan telah membuka kertas siasatan di bawah laporan kematian mengejut (SDR) pada 7 Disember 2017 dan menutup kes itu selepas merumuskannya sebagai mati mengejut atau bunuh diri.

Verstappen mendakwa beliau tidak boleh menerima rumusan itu kerana perkara tersebut amat sukar dipercayai dan terkejut dengan tindakan defendan yang hanya membuka kertas siasatan di bawah SDR, oleh itu mendakwa tindakan defendan adalah perlanggaran jelas prosedur operasi standard dan amalan terbaik dalam siasatan polis. – Bernama, 7 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen