GEMPA bumi berukuran 6.4 magnitud yang melanda timur Taiwan mengakibatkan lima maut manakala lebih 200 lagi dilaporkan cedera, kata pihak berkuasa selepas sebuah bangunan runtuh dan menyebabkan mangsa terperangkap di dalamnya.
Agensi kebakaran negara berkata sebuah hotel dan blok kediaman antara yang paling teruk terjejas akibat gempa bumi di pelabuhan bandar Hualien itu.
Katanya, lima bangunan lain termasuk sebuah hospital rosak manakala rakaman televisyen menunjukkan jalan raya dipenuhi sisa runtuhan, retakan di sepanjang lebuh raya dan bangunan condong akibat gempa.
Hotel Marshal dilihat paling teruk terjejas dengan sebahagiannya hampir menyembah bumi manakala bahagian lain condong, kata penyelamat yang menggunakan kren dalam usaha menyelamatkan mangsa terperangkap di tingkat paling atas.
“Ia kejadian gempa terbesar dan terburuk yang pernah saya saksikan di Hualien dalam tempoh lebih 10 tahun ini, ” kata seorang penduduk, Blue Hsu yang turut memberitahu berlaku gegeran kuat di rumahnya.
Menggambarkan keadaan di Hotel Marshal, Hsu berkata tingkat bawah hotel musnah.
“Tingkat bawah terbenam ke dalam tanah namun pelancong yang panik berjaya diselamatkan. Kira-kira 50 anggota penyelamat dibantu sebuah jentolak terbabit dalam misi menyelamat,” katanya.
Menerusi laman Facebooknya, Presiden Taiwan Tsai Ing-wen berjanji bantuan akan diberi secepat mungkin dan mengerahkan penyelamat bersiap sedia membantu. – AFP, 7 Februari, 2018.
Komen