13 maut, puluhan cedera dalam nahas bas di Indonesia


SEKURANG-KURANGNYA 13 orang terbunuh dan puluhan yang lain cedera selepas bas persiaran yang membawa pekerja kilang untuk bercuti di sebuah pantai terbabas di pulau Jawa Indonesia, kata polis.

Bas yang membawa 47 penumpang itu dalam perjalanan dari Sukoharjo di Jawa Tengah ke Yogyakarta itu terlibat dalam kemalangan selepas pemandu hilang kawalan ketika menuruni bukit, kata pegawai semalam.

“Saksi memberitahu mereka melihat pemandu panik ketika cuba mengawal bas dan tidak ada tanda brek tidak berfungsi atau rosak,” kata ketua polis daerah, Bantul Ihsan dalam satu sidang media.

“Seramai 13 orang maut. Ada yang maut di tempat kejadian dan ada yang meninggal dunia ketika dirawat di hospital manakala 34 lagi cedera,” katanya sambil menambah mereka yang cedera dibawa ke tiga hospital berdekatan.

Pemandu itu antara yang maut apabila bas terbalik dan merempuh tepi jalan menyebabkan bahagian hadapan kenderaan itu rosak serta bahagian kanannya rosak teruk.

Sejurus sebelum nahas, penumpang diminta turun buat sementara waktu berikutan kenderaan itu berdepan kesukaran untuk menaiki bukit, kata Ihsan.

Pada Mac tahun lalu sebuah bas yang membawa berpuluh-puluh jemaah haji terhumban ke dalam gaung dalam di Sumedang, wilayah Jawa Barat yang mengorbankan 29 orang.

Pada akhir 2019 sekurang-kurangnya 35 orang terbunuh apabila sebuah bas terjunam ke dalam gaung di pulau Sumatera. – AFP, 7 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen