9 maut nahas van di Filipina


SEMBILAN orang termasuk seorang bayi maut di utara Filipina selepas sebuah van yang dipandu laju hilang kawalan di selekoh dan merempuh deretan rumah di pinggir lebuh raya, kata polis semalam.

Mangsa berkumpul di anjung rumah seorang rakannya selepas menghadiri upacara kematian di pekan Lal-Lo di wilayah Cagayan pada malam Sabtu ketika kemalangan itu berlaku.

“Mereka sedang berehat apabila van yang dipandu laju merempuh,” kata ketua polis Lal-Lo, Jefferson Mukay kepada AFP.

Sebuah kenderaan SUV yang diparkir berhampiran dan motor roda tiga turut dilanggar.

Pemandu van, seorang anggota tentera simpanan dan penumpangnya dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal, kata Mukay.

Beliau berkata pemandu itu akan berdepan pelbagai pertuduhan pembunuhan dan lain-lain.

Kemalangan jalan raya di Filipina kerap dikaitan dengan pemanduan melanggar peraturan dan kenderaan tidak diselenggara dengan baik atau terlebih muatan.

Pada Januari, sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh di selatan Filipina selepas sebuah trak kecil yang sarat penumpang tergelincir dari jalan raya dan terbalik. – AFP, 7 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen