CHINA mengenakan perintah berkurung terhadap satu bandarnya yang terletak berhampiran sempadan Vietnam dengan populasi 3.5 juta penduduk bermula hari ini selepas lebih 70 kes koronavirus dikesan di situ sejak tiga hari lalu.
China, satu-satunya ekonomi utama dunia yang masih kekal dengan dasar Covid-sifar, dalam keadaan berjaga-jaga untuk sebarang jangkitan, terutama ketika ia pada masa ini menjadi tuan rumah Olimpik Musim Sejuk Beijing.
Pihak berkuasa tempatan bandar Baise di selatan wilayah Guangxi semalam mengumumkan tiada sesiapa dibenarkan keluar dari bandar itu, sementara penduduk di sesetengah daerah akan dikenakan perintah berkurung.
“Kawalan trafik di seluruh bandar akan dikuatkuasakan,” kata Timbalan Datuk Bandar Gu Junyan.
“Secara prinsipnya, kenderaan dan penduduk tidak boleh masuk atau keluar dari bandar ini, dengan penguatkuasaan ketat dan tiada pergerakan tidak perlu boleh dilakukan.”
Penduduk di sebahagian kawasan kejiranan lebih kecil di luar bandar dan daerah di bawah bidang kuasa Baise juga dikenakan perintah berkurung, sementara ada yang tidak dibenarkan keluar dari daerah, kata Gu.
Baise terletak kira-kira 100km dari sempadan Vietnam, pada Jumaat mengesan kes pertamanya – membabitkan seorang penduduk yang pulang ke rumah selepas bercuti selama seminggu meraikan Tahun Baharu Cina, kata pihak berkuasa.
Sejak pandemik, China membina pagar kawat sepanjang sempadan selatannya bagi mengelak pendatang haram dari Vietnam dan Myanmar masuk – bagi mengelak potensi jangkitan Covid-19.
Pihak berkuasa berkata ujian saringan besar-besaran sedang dilakukan terhadap penduduk. – AFP, 7 Februari, 2022.
Komen