PROTES pemandu trak yang berterusan di ibu kota Kanada kini “di luar kawalan”, kata datuk bandar Ottawa semalam ketika mengumumkan pengisytiharan darurat di bandar yang masih disekat pembangkang anti peraturan Covid.
Penunjuk perasaan yang mula tiba di ibu kota pada 29 Januari, meletakkan trak besar mereka di sekitar jalan raya dan memasang khemah dan pondok – melumpuhkan kelancaran di bandar itu dan mencetuskan kemarahan penduduk.
Datuk Bandar Jim Watson berkata darurat terpaksa dikuatkuasakan berikutan bahaya dan ancaman yang serius terhadap keselamatan penduduk, akibat demonstrasi yang berterusan dan memohon bantuan sokongan dari bandar lain dan kerajaan.
Awal semalam, Watson menyifatkan situasi itu sebagai di luar kawalan, menambah jumlah penunjuk perasaan lebih ramai berbanding anggota polis.
“Kita kekurangan dan akan tewas dalam peperangan ini,” katanya kepada radio CFRA. “Keadaan ini perlu ditamatkan, kita perlu dapatkan kembali bandar kita.”
Watson menyifatkan pemandu trak terbabit sebagai tidak sensitif kerana terus-terusan membunyikan hon dan siren serta bunga api, dan menjadikan protes itu seperti pesta.
Demonstrasi bermula kerana pemandu trak marah degan syarat vaksin untuk menyeberang sempadan Kanada-AS, tetapi ia beralih menjadi protes lebih luas terhadap sekatan Covid-19 dan kerajaan Perdana Menteri Justin Trudeau.
Penduduk tempatan merungut kerana bunyi hon terlalu kuat dan diganggu, serta dihina atau dihalang oleh penunjuk perasaan – AFP, 7 Februari, 2022.
Komen