MAGHRIBI dikejutkan dengan kematian kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang terjatuh ke dasar perigi sekali gus menamatkan operasi menyelamat lima hari yang menjadi tumpuan dunia.
Rayan Oram, 5, terjatuh ke dalam sebuah perigi berkedalaman 32 meter mendapat prhatian dunia dan mencetuskan rasa simpati dalam kalangan pengguna media sosial seluruh dunia.
Pope Francis, yang turut berkabung atas kehilangan Rayan, memuji tentang bagaimana semua orang berkumpul bersama untuk cuba menyelamatkan seorang kanak-kanak.
“Hati kami hancur malam tadi,” kata Presiden Israel Isaac Herzog dalam ucapan takziah kepada Raja Mohammed VI, manakala Presiden Perancis Emmanuel Macron berkata kepada keluarga Rayan dan rakyat Maghribi: “Kami berkongsi kesedihan anda.”
Tiada maklumat rasmi mengenai hasil bedah siasat namun seorang sepupu kepada kanak-kanak berkenaan memberitahu AFP mayat Rayan telah dibawa ke hospital tentera di ibu negara Rabat.
Pengebumiannya akan dijalankan pada Isnin di kampung keluarganya di Ighrane di mana kemalangan itu berlaku, kata wakil wilayah Abderahim Bouazza dan seorang saudara.
“Kesunyian amat mengerikan pagi ini di kampung,” kata seorang saudara.
Terdahulu, bapa kanak-kanak itu Khaled Aourram berkata beliau sedang membaiki perigi apabila anaknya terjatuh, berhampiran dengan rumah keluarga di pergunungan Rif di utara Maghribi.
“Kami berterima kasih kepada raja, pihak berkuasa dan semua yang telah membantu kami,” kata Aourram di televisyen petang Sabtu. – AFP, 7 Februari, 2022.
Komen