PRN Johor: Peringatan untuk pengundi muda


Golongan pengundi muda mesti menjauhkan diri daripada mereka yang memudaratkan amalan demokratik dan kepentingan rakyat.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Februari, 2022.

MENJELANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, tumpuan tentunya pada kumpulan pengundi berumur antara 18 hingga 20 tahun dan melihat bagaimana mereka menggunakan hak yang baharu diperolehi untuk mengundi selepas Parlimen meluluskan undang-undang mengenainya pada 2019.

PRN Johor sudah pasti bersejarah kerana inilah kali pertama anak muda di negeri itu, yang merupakan antara lebih kurang 1.2 juta pengundi muda di seluruh negara, dijangka akan melaksanakan hak demokrasi mereka.

Harapannya idealisme muda mereka, yang boleh dianggap penuh dengan nilai-nilai murni seperti amanah, integriti, keadilan, belas ihsan dan ketekunan, akan bermanfaat apabila mereka mengundi kerana pilihan raya sebenarnya adalah tentang masa depan yang perlu mereka sama-sama bentuk.

Dalam erti kata lain, kita mengharapkan mereka serta pengundi yang lebih dewasa tahu Johor yang bagaimanakah, dan Malaysia amnya, yang lebih baik  sebelum mereka membuat pilihan.

Sudah tentu Malaysia yang dibelenggu rasuah tidak boleh jadi sebahagian daripada masa depan mereka. Skandal kewangan yang terdedah sejak beberapa tahun kebelakangan menunjukkan betapa ia cukup menghancurkan. Pengundi muda harus memastikan wabak ini dibasmi habis-habisan.

Apabila mengundi, anak muda juga harus ingat betapa institusi awam yang bersarang rasuah mesti dibersihkan kerana ia punca pada ketidakcekapan, ketirisan wang, amalan tidak demokratik, ketidakadilan sosial dan hilang percaya masyarakat.

Pengundi muda mesti beringat bahawa rasuah tidak harus sama sekali jadi budaya kita – ia terlalu merosakkan.

Pendidikan mustahak untuk negara. Pengundi muda mesti memastikan ahli politik yang mereka berikan mandat adalah mereka yang mampu menerima dan menekankan meritokrasi, keadilan sosial dan keterangkuman dalam sistem pendidikan negara.

Kepelbagaian masyarakat berbilang kaum harus diterima sebagai harta yang sangat berharga, dan bukannya beban. Mereka mesti menolak parti atau ahli politik yang terus berpegang pada strategi pecah dan perintah warisan penjajah yang menggunakan kaum dan agama untuk kepentingan sendiri.

Keterangkuman penting dalam masyarakat majmuk seperti kita. Oleh itu, anak muda juga harus menerima bahawa kumpulan minoriti perlu dijaga dan berhak mendapatkan bantuan kerajaan. Mereka tidak boleh diabaikan supaya taraf kehidupan mereka dapat diperbaiki sementara hak-hak mereka dilindungi.

Dasar ekonomi semasa juga sama pentingnya. Dasar yang terikat dengan liberalisme baharu perlu diperbaharui bagi memastikan kepentingan dan keperluan golongan miskin diberi keutamaan mengatasi mereka yang bernasib baik. Keadilan sosial perlu mendasari reformasi itu.

Sekiranya kesihatan adalah kemewahan, maka sistem rawatan kesihatan mesti dipertingkatkan bagi memastikan rawatan yang wajar dan memadai boleh dicapai oleh majoriti rakyat terutamanya kumpulan berpendapatan rendah.

Ini termasuk menangani masalah doktor kontrak yang perkhidmatan mereka sangat diperlukan.

Begitu juga dengan pekerja am dan kontrak hospital, yang tidak sepatutnya berkonvoi dari Pulau Pinang ke Putrajaya untuk menyerahkan memorandum mengadu nasib kepada menteri kesihatan.

Pengundi muda harus juga memahami kepentingan politik kebebasan bersuara dan media. Kebebasan itu sangat mustahak untuk mendapatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban kerajaan yang memerintah. Selebihnya, mereka juga perlu kebebasan yang sama untuk menyuarakan aspirasi, masalah dan harapan.

Ahli politik yang jadi batu penghalang kepada kebebasan yang penting ini mesti disingkirkan.

Ada juga ahli politik yang tidak boleh menukar belangnya. Pengundi, terutamanya pengundi muda, mesti menjauhkan diri daripada mereka yang memudaratkan amalan demokratik dan kepentingan rakyat.

Pengundi muda harus mengelak daripada memperjudikan nasib pada ahli politik yang berperangai seperti katak, melompat dari sebuah parti ke sebuah parti demi melindungi kepentingan mereka.

Kestabilan politik, yang menjadi alasan rasmi untuk mengadakan pilihan raya negeri Johor, tidak boleh dipertahankan dengan mereka yang melompat ini. – 7 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen