Warga emas meninggal dunia mendaki bukit di Negeri Sembilan


Lokasi kejadian warga emas meninggal dunia di Bukit Melati, Nilai, Negeri Sembilan. – Gambar Facebook, 6 Februari, 2022.

SEORANG lelaki warga emas meninggal dunia ketika menjalani aktiviti mendaki di Centipede Trail, Bukit Melati di Nilai, Negeri Sembilan petang tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Nilai Mat Ghani Lateh, berkata siasatan awal mendapati mangsa berusia 69 tahun itu melakukan aktiviti mendaki secara bersendirian dan pengsan kira-kira jam 6 petang.

“Mangsa berasal dari Salak Tinggi, Sepang. Seorang saksi pendaki menyedari kejadian itu dan mendekati mangsa yang pada ketika itu masih dalam keadaan bernafas tetapi tidak sedarkan diri.

“Saksi itu kemudian menghubungi pihak bomba dan ambulans untuk bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan Klinik Kesihatan Nilai di tempat kejadian sebelum dibawa turun oleh pasukan bomba dan penyelamat Nilai.

Katanya, mangsa yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung dibawa ke unit forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk tindakan lanjut. – Bernama, 6 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen