Australia gesa Myanmar bebaskan ahli ekonomi yang ditahan setahun lalu


Foto edaran daripada Agensi Berita Myanmar (MNA) yang diambil pada 28 Julai 2021 menunjukkan Sean Turnell yang ditahan junta Myanmar menerima vaksin Covid-19. – Gambar AFP, 6 Februari, 2022.

MENTERI Luar Australia hari ini meminta “pembebasan segera” ahli ekonomi Sean Turnell yang ditahan oleh junta tentera Myanmar sejak setahun lalu.

Turnell seorang profesor ekonomi Australia bekerja sebagai penasihat kepada pemimpin awam Aung San Suu Kyi apabila beliau ditangkap Februari lalu hanya beberapa hari selepas rampasan kuasa tentera.

Beliau didakwa melanggar undang-undang rahsia rasmi Myanmar dan berdepan hukuman maksimum penjara 14 tahun jika didapati bersalah.

“Penahanan Profesor Turnell adalah tidak adil dan kami menolak dakwaan terhadapnya.

“Kami sekali lagi menyeru agar Profesor Turnell dibebaskan segera,” kata Menteri Luar Australia Marise Payne dalam satu kenyataan.

Rampasan kuasa itu mencetuskan protes besar-besaran dan tindakan keras tentera berdarah dengan lebih 1,500 orang awam terbunuh dan hampir 12,000 ditangkap setakat 4 Februari, menurut kumpulan pemantau tempatan.

Kumpulan hak asasi manusia menimbulkan kebimbangan mengenai pendakwaan Turnell terutamanya selepas Kedutaan Australia dinafikan akses kepada perbicaraan mahkamahnya pada September.

“Selaras dengan piawaian asas keadilan dan ketelusan, kami menjangkakan Profesor Turnell sepatutnya mempunyai akses tanpa halangan kepada peguamnya dan pegawai Australia dapat memerhatikan prosiding mahkamahnya,” kata Payne.

Turnell ketika ditahan sedang ditemubual menerusi telefon oleh BBC selepas rampasan kuasa.

“Saya baru sahaja ditahan pada masa ini dan mungkin didakwa dengan sesuatu, saya tidak tahu apa itu, boleh jadi apa-apa sahaja,” katanya.

Bulan lalu gabungan NGO termasuk Pemerhati Hak Asasi Manusia dan Majlis Pelarian Australia menggesa kerajaan Australia mengenakan sekatan yang disasarkan ke atas pemimpin tentera Myanmar. – AFP, 6 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen