PENUNJUK perasaan sekali lagi membanjiri ibu negara Kanada pada awal Sabtu untuk menyertai konvoi pemandu lori yang berkumpul di Ottawa untuk mengecam mandat vaksin Covid-19 yang kini memasuki minggu kedua.
Orang ramai berkumpul menggelilingi unggun api dalam cuaca sejuk dan mendirikan “istana lompat” untuk kanak-kanak di luar Parlimen, sambil mengibarkan bendera Kanada dan sepanduk antikerajaan.
Polis meletakkan penghadang untuk mengehadkan akses kenderaan ke pusat bandar, berkata mereka menjangkakan sehingga 2,000 penunjuk perasaan menyertai ratusan pemandu lori yang sudah memenuhi jalan Ottawa.
Penganjur “Konvoi Kebebasan” memberitahu AFP mereka menjangkakan jumlah mereka akan meningkat kepada puluhan ribu.
Protes serupa dirancang di Toronto, Quebec City dan Winnipeg.
Suasana awal Sabtu kelihatan lebih meriah berbanding seminggu sebelumnya, apabila beberapa penunjuk perasaan mengibarkan bendera dan simbol Nazi—yang dikutuk oleh pegawai kerajaan—dan bertempur dengan penduduk tempatan.
Polis berikrar menamatkan protes secepat mungkin.
Tetapi pada Sabtu, terdapat tanda penunjuk perasaan mulai masuk.
Mereka mendirikan bangsal kayu dan khemah untuk menempatkan bekalan makanan bagi penunjuk perasaan dan bahan bakar untuk pelantar besar.
Seorang wanita menawarkan alat pemanas kepada orang yang lalu lalang kerana suhu diramalkan menjunam hingga -30 darjah Celsius.
Kimberly Ball dan suaminya telah memandu lima jam dari sebuah bandar kecil di barat Toronto untuk menyertai demonstrasi.
“Ini bukan tentang sama ada anda mendapat vaksin atau tidak,” tegasnya. “Ia mengenai kebebasan kita.”
Sambil menahan sebak, dia menambah: “Ia benar-benar sukar. Beberapa orang yang kita kenali, kawan-kawan, juga kehilangan pekerjaan kerana mandat ini.”
Ball menghidap Covid-19 dan berkata tidak yakin vaksin itu selamat dan berkesan.
Bagaimanapun, beliau termasuk dalam minoriti di Kanada, yang 90% orang dewasa sudah mendapat suntikan vaksin lengkap.
Konvoi Kebebasan bermula di pantai Pasifik Kanada pada akhir Januari dan menjemput penyokong sepanjang perjalanan ke ibu negara.
Protes itu berjaya mengumpul lebih 10 juta dolar Kanada melalui sumbangan dalam talian.
Bilangan penunjuk perasaan di Ottawa bertambah kepada beberapa ribu pada Sabtu lalu, menurut pegawai, sebelum berkurangan kepada beberapa ratus menjelang pertengahan minggu.
Hujung minggu ini polis Ottawa berusaha untuk membendung protes ke kawasan Parlimen, selepas aduan meluas mengenai gangguan, ugutan dan bunyi bising yang disebabkan oleh hon yang berterusan. – AFP, 6 Februari, 2022.
Komen