KRU penyelamat Maghribi menemui kanak-kanak lelaki berusia lima tahun, Rayan Oram dalam keadaan tidak bernyawa di dasar perigi pada malam Sabtu, selepas lima hari operasi menyelamat dijalankan.
“Susulan kemalangan tragis yang mengorbankan nyawa kanak-kanak Rayan Oram, Duli Yang Maha Mulia Raja Mohammed VI memanggil ibu bapa budak itu yang maut selepas terjatuh ke dalam perigi,” kata kenyataan istana.
Melalui operasi selama beberapa hari untuk mengeluarkan Rayan dari dasar perigi sedalam 32 meter itu, pihak berkuasa memberi amaran mereka tidak tahu sama ada kanak-kanak itu sudah meninggal dunia atau masih hidup.
Tetapi berita kematiannya menambah kedinginan di kampung asalnya Ighrane di utara Maghribi di mana ribuan sukarelawan dan pelawat berkumpul minggu ini sebagai solidariti dengan keluarganya.
Hari semakin gelap apabila pasukan penyelamat akhirnya berjaya menembusi lubang perigi, tempat Rayan terperangkap, melalui cerun di lereng gunung yang digali beberapa hari lalu.
Wartawan AFP melihat ibu bapa kanak-kanak itu berjalan melalui cerun, kelihatan bersedih, sebelum kembali dan menaiki ambulans tanpa berkata apa-apa.
Selepas tempoh kekeliruan, orang ramai yang berkumpul mula bersurai dalam keadaan suram.
Tiada maklumat rasmi mengenai Rayan sehingga media Maghribi menyiarkan kenyataan istana.
Insiden dialami Rayan yang terjatuh ke dalam perigi pada petang Selasa menarik perhatian orang ramai dan mengundang simpati seluruh dunia.
Menjelang tengah hari Sabtu, krew penyelamat, menggunakan jentera untuk menggali tanah di sekelilingnya sehingga ke paras Rayan terperangkap, dan menggerudi terowong mendatar untuk menyelamatkannya dari bahagian tepi perigi.
Tetapi progres menjadi perlahan apabila mereka terpaksa menghentikan usaha dengan jentera bagi mengelakkan sebarang gegaran yang mungkin menyebabkan tanah runtuh, kata pihak berkuasa tempatan.
Pasukan penyelamat tidak berputus asa untuk menyelamatkan kanak-kanak itu dalam keadaan hidup, walaupun pegawai mengakui mereka tidak mempunyai bukti kukuh tentang keadaannya. – AFP, 6 Februari, 2022.
Komen