Lelaki hilang lebih 24 jam ditemukan terapung di sungai Pahang


MAYAT seorang lelaki dipercayai mengalami masalah mental ditemukan terapung di Sungai Belat berhampiran Kampung Seri Damai di Kuantan hari ini selepas dilaporkan hilang lebih 24 jam.

Ketua Polis Daerah Kuantan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata Mohd Redzuan Mohamad, 35, didakwa keluar rumah pada jam 2 petang semalam dengan menunggang motosikal.

“Ahli keluarga mangsa mendakwa mereka mula mencarinya apabila dia tidak pulang selepas beberapa jam namun hanya menemukan motosikal itu di jambatan sekitar jam 6 petang semalam.

“Mayat mangsa ditemukan terapung hari ini kira-kira 200 meter dari lokasi motosikal itu dijumpai sebelum dinaikkan oleh pihak bomba pada jam 6.20 petang,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa, anak ketujuh daripada lapan beradik, dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat. – Bernama, 5 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen