Usaha selamatkan kanak-kanak jatuh perigi di Maghribi diteruskan


Kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun terperangkap di dalam perigi sedalam 32 meter di bandar Shafshavan, Maghribi sejak Selasa. – Gambar AFP, 5 Februari, 2022.

OPERASI penggerudian secara mendatar dilancarkan demi menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun, yang terjatuh ke dalam perigi sedalam 32 meter di Maghribi, lapor agensi berita Anadolu.

Stesen televisyen tempatan Channel 2 menerusi laman Facebooknya berkata, operasi menyelamat kanak-kanak bernama Rayan terus dijalankan di bandar Shafshavan, utara negara itu.

Pasukan penyelamat bertungkus-lumus selama kira-kira 76 jam dan operasi penggerudian mendatar dimulakan dengan menggunakan paip konkrit demi menjamin keselamatan kanak-kanak itu, katanya.

Rayan terperangkap di dalam perigi kering sedalam 32 meter itu sejak tengah hari Selasa.

Rakaman dari kamera yang dibawa turun ke dalam perigi menunjukkan kanak-kanak itu masih hidup dan sedar.

Pasukan penyelamat turut menurunkan topeng oksigen.

Sebuah helikopter siap siaga membawa Rayan ke hospital terdekat. – Bernama, 5 Februari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen